Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita dituduh edar syabu direman lanjut

-

KUCHING: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan mengedar 97.71 gram syabu.

Bagaimanap­un tiada pengakuan direkodkan daripada Tan Pei Chiew, 49, yang berasal dari Betong.

Sehubungan itu, Hakim Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan kes disebut semula pada 13 Januari depan dan mengarahka­n tertuduh untuk direman lanjut di Penjara Puncak Borneo.

Mengikut pertuduhan, Tan didakwa mengedar dadah tersebut pada 19 Jun lalu, jam 7.30 malam di sebuah rumah di Taman Good Land, Betong.

Penjual daging babi itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, Tan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada 15 kali sebatan (sekiranya tidak dikenakan hukuman mati).

Pendakwaan dikendalik­an oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Roger Chin.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, seorang lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah pisau yang menyerupai kerambit.

Hakim Marutin Pagan menetapkan 9 Disember depan sebagai pengurusan kes dan membenarka­n Zamree Salleh, 31, dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 berserta seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 16 November lalu, jam 11.30 pagi semasa menunggang motosikal di Jalan Chawan, dekat sini.

Difahamkan, tertuduh ditahan anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya dan memaklumka­n kepada polis bahawa pisau tersebut bukan miliknya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta BahanBahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntu­kkan penjara antara lima tahun hingga 10 tahun.

Pendakwaan dikendalik­an Pegawai Pendakwa Nadratun Naim Mohd Saidi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia