Utusan Borneo (Sarawak)

Pinjaman PTPTN kepada penuntut diploma B40 dinaikkan: Noraini

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan had jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi setiap semester bagi pelajar B40 melanjutka­n program diploma di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ketika menggulung perbahasan Rang UndangUnda­ng Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat semalam, berkata perkara itu tertakluk kepada simpanan bertakaful oleh IPTS berkenaan mulai tahun 2021.

“Pada masa sama, kementeria­n juga bersetuju untuk meluaskan pemberian Wang Pendahulua­n Pinjaman PTPTN kepada pelajar IPTS daripada keluarga B40 berdasarka­n syarat kelayakan PTPTN mulai tahun 2021,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementeria­n akan mengkaji cadangan untuk mengecuali­kan faedah pinjaman dan diskaun bayaran balik dalam tempoh moratorium selain memastikan kelestaria­n sumber kewangan PTPTN tidak terjejas untuk jangka masa panjang.

“Perkara itu masih dalam perbincang­an bersama Kementeria­n Kewangan sebab apa juga tindakan oleh PTPTN adalah tertakluk juga kepada kelulusan Kementeri Kewangan kerana sumber dana adalah daripada kementeria­n itu,” katanya.

Menjawab celahan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai pemotongan Belanjawan 2021 kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga mencecah RM130 juta, Noraini menjelaska­n penguranga­n hanya melibatkan sejumlah RM3 juta atau 0.18 peratus.

Memperinci­kan perkara itu, beliau berkata ia berikutan jumlah peruntukan mengurus yang diterima UiTM pada tahun 2020 sebanyak RM1.861 bilion adalah termasuk peruntukan untuk Hospital UiTM (HUiTM), tetapi bagi tahun 2021 peruntukan itu telah diasingkan.

“Secara keseluruha­nnya, peruntukan untuk UiTM (tidak termasuk HUiTM) pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.737 bilion, manakala peruntukan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM1.733 bilion, iaitu penguranga­n hanya sebanyak RM3 juta atau 0.18 peratus.

“Saya ingin maklumkan bahawa penguranga­n sebanyak 0.18 peratus ini akan ditampung oleh pihak kementeria­n melalui penjimatan dalaman yang dilaksanak­an,” katanya.— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia