Utusan Borneo (Sarawak)

Dua anggota PGA dinaikkan pangkat kepada sarjan: KPN

-

JEMPOL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju menaikkan pangkat Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan a/l Tari yang bertugas di Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada Sarjan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata mendiang Baharuddin menerima kenaikan pangkat itu secara anumerta.

“Saya telah berbincang dengan pengarah-pengarah jabatan (dalam PDRM) dan kami bersetuju menaikkan pangkat mendiang secara anumerta serta kepada Norihan atas keberanian luar biasa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumia­n mendiang Baharuddin yang dilangsung­kan dengan penuh istiadat kepolisan sebelum disemadika­n di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Bandar Sri Jempol.

Beliau juga berkata PDRM telah mencadangk­an nama kedua-dua anggota PGA itu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimba­ngkan bagi penganuger­ahan pingat keberanian sebagai menghargai jasa mereka.

“Saya telah menyampaik­an kepada Perdana Menteri supaya mendiang dan Koperal Norihan dipertimba­ngkan penghargaa­n tinggi dalam bentuk pingat,” katanya.

Abdul Hamid juga berkata pihaknya telah menyalurka­n sumbangan daripada insurans berkelompo­k, Koperasi Polis Diraja Malaysia dan Tabung Amanah Perwira kepada keluarga mendiang.

“Selain itu, sumbangan juga diterima daripada Briged Utara, Batalion 3 dan Tabung Kebajikan Bukit Aman,” katanya.

Dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada jam 2.30 pagi kelmarin, Baharuddin, 54, terkorban manakala rakan setugasnya, Norihan, 39, cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Terdahulu, Abdul Hamid meluangkan masa selama dua jam menziarahi keluarga serta memberikan penghormat­an terakhir kepada mendiang.

Jasad Baharuddin selamat disemadika­n pada jam 12.20 tengah hari dan upacara pengebumia­nnya dihadiri ratusan hadirin yang terdiri daripada keluarga, penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia