Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki didenda RM2,500 kerana curi di pasar raya

-

SIBU: Gara-gara mencuri Milo, berusi gigi dan syampu, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Tertuduh, Ling Chieng Kin, 36, diperintah menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang dijatuhkan.

Mengikut pertuduhan, Ling didakwa mencuri satu peket Milo 3.5 kilogram, satu bungkus berus gigi Oral B dan dua botol syampu Pantene yang bernilai RM122.20.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Jalan Salim pada 24 November 2020, kira-kira jam 9.10 pagi.

Untuk kesalahan itu, Ling didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga denda jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n fakta kes, pengadu yang bertugas sebagai pengawal keselamata­n telah menahan tertuduh yang keluar dari pasar raya dalam keadaan mencurigak­an.

Ketika memeriksa beg plastik yang dibawa oleh tertuduh, pengadu telah menjumpai satu peket Milo 3.5 kilogram, satu bungkus berus gigi Oral B dan dua botol syampu Pantene.

Tertuduh gagal menunjukka­n resit sebagai bukti pembelian dan pengadu terus menghubung­i pihak polis untuk tindakan susulan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan setelah mengaku bersalah membantu melupuskan motosikal curi.

Chieng Kai Hock, 39, didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun dan denda jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarka­n pertuduhan, Chieng didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Jalan Tukang Besi pada 15 November 2020, kira-kira jam 11.45 pagi.

Mengikut fakta kes, pengadu yang berusia 70 tahun telah meninggalk­an motosikal miliknya dalam keadaan enjin yang masih hidup di luar sebuah kedai nombor ekor di Jalan Tukang Besi.

Apabila keluar semula dari kedai, pengadu mendapati motosikal miliknya itu telah hilang dipercayai dicuri.

Pada 24 November 2020, kira-kira jam 9.30 pagi berhampira­n Jalan Awang Ramli Amit pihak polis telah menahan tertuduh.

Siasatan kemudian mendapati tertuduh telah menjual motosikal terbabit kepada kawannya yang dikenali sebagai Ah Lek, yang kini masih bebas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia