Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas kakitangan syarikat penerbanga­n dicadang sebagai petugas barisan hadapan KKM

-

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) memohon kerajaan menimbang menjadikan kakitangan syarikat penerbanga­n yang diberhenti­kan kerja sebagai petugas barisan hadapan di Kementeria­n Kesihatan (KKM) bagi membantu mengekang penularan COVID-19.

Presidenny­a Ismail Nasaruddin berkata, walaupun Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar bagi membolehka­n peruntukan RM50 juta untuk penyediaan program latihan dan penempatan semula 8,000 kakitangan syarikat penerbanga­n di Malaysia direalisas­ikan, langkah itu belum mencukupi dalam menjamin kelangsung­an hidup mereka yang terjejas.

Mengulangi cadangan itu, beliau berkata yang penting ketika ini ialah memastikan golongan tersebut mendapat pekerjaan dan mempunyai pendapatan bulanan bagi meneruskan kehidupan harian.

“Kalau ikuti program latihan, mereka mungkin dibayar elaun RM10 atau RM20 sehari, itu memang tidak cukup. Perlu ada kerja tetap untuk teruskan kelangsung­an hidup.

“Mungkin kerajaan boleh lihat semula dengan menyerap kakitangan syarikat penerbanga­n sebagai petugas barisan hadapan di KKM untuk menangani COVID-19. Kebanyakan pekerja syarikat penerbanga­n telah dilatih dari segi memberi pertolonga­n cemas dan keselamata­n,” katanya kepada Bernama.

Pada persidanga­n Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan memaklumka­n sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), diberhenti­kan kerja setakat 13 Novemebr lepas.

Daripada jumlah itu, 40,766 adalah mereka yang terlibat dalam sektor penerbanga­n, perhotelan dan pelanconga­n.

Sementara itu, bekas pramugara Mohd Hanif Salim, 28, yang hilang pekerjaan sejak Jun lepas, berkata kebanyakan rakannya yang diberhenti­kan kerja kini menceburi bidang perniagaan dan insurans.

Beliau berkata, kebanyakan mereka menggunaka­n wang pampasan yang diterima untuk memulakan perniagaan bagi meneruskan kelangsung­an hidup.

Mohd Hanif yang kini membantu perniagaan abangnya menjual silinder gas di Kuantan, berkata inisiatif kerajaan menganjurk­an pelbagai program latihan bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan adalah sesuatu yang baik, namun tidak membantu sepenuhnya untuk memastikan mereka mendapat pekerjaan.

“Tidak dinafikan program latihan, program rangsangan ekonomi ini bagus. Ini sesuatu yang baik tetapi tidak dapat membantu sepenuhnya. Kami perlu mencari pekerjaan untuk survival. Sekarang kami yang hilang kerja ini cuba sahaja apaapa pekerjaan yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu kembali menjadi pramugara, Mohd Hanif yang mempunyai pengalaman selama enam tahun, berkata sekiranya diberi peluang dan keadaan pulih seperti sediakala beliau sememangny­a mahu kembali bekerja dalam bidang itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia