Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan selebriti rancangan realiti TV didakwa merogol

-

SHAH ALAM: Polis menahan seorang selebriti lelaki sebuah rancangan realiti televisyen ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan merogol seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan itu dibuat susulan satu laporan dibuat oleh mangsa berumur 23 tahun itu, pada Rabu lepas mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, wanita tersebut mengenali suspek berumur 25 tahun itu menerusi laman sosial Instagram dan mereka telah berjumpa pada 11 September 2019 sekitar jam 8 malam, untuk berbincang mengenai kaedah perubatan Islam bagi merawat masalah kemurungan dihadapi mangsa.

“Suspek telah membawa mangsa makan di satu kedai di sekitar Batu 3 Shah Alam, sebelum membawa wanita itu ke rumahnya di satu unit kondominiu­m di Seksyen 7 di sini, dengan alasan untuk memberi penerangan bagaimana boleh keluar daripada masalah kemurungan.

“Semasa di kediaman tersebut, mangsa telah dirogol suspek. Keesokan harinya (12 Sept 2019) sekitar jam 6.40 pagi, selebriti berkenaan memberi amaran kepada wanita itu supaya merahsiaka­n mengenai kejadian terbabit dan menghantar­nya ke lobi kondominiu­m untuk mangsa pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya, menaiki kenderaan e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Baharudin berkata, susulan kejadian itu, mangsa dimasukkan ke Hospital Kajang pada 23 September 2019 kerana mengalami tekanan perasaan yang teruk, serta dirujuk untuk rawatan psikiatri.

Kata beliau, mangsa kemudianny­a pulang ke rumah keluargany­a di Triang, Pahang pada Oktober 2019 dan menyambung rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Mangsa ditahan di wad psikiatri selama lima hari. Pihak hospital itu juga mengatakan wanita berkenaan mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat insiden tersebut. Sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital berkenaan,” katanya.

Baharudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia