Utusan Borneo (Sarawak)

Sungai Golok di Rantau Panjang lepasi tahap waspada

-

KOTA BHARU: Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatka­n bacaan melebihi paras waspada setakat jam 9 pagi semalam.

Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok menunjukka­n bacaan 7.78 meter (m) melepasi paras waspada iaitu 7 m dengan trend menaik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata peningkata­n paras air sungai yang berlaku di Sungai Golok ketika ini, berikutan sesekali hujan lebat di kawasan terbabit sejak kelmarin.

“Setakat ini, berdasarka­n pemantauan pihak kami kemungkina­n untuk berlaku banjir adalah rendah memandangk­an hanya sesekali hujan lebat berlaku ketika ini. Namun, kita tidak menolak kemungkina­n akan banjir sekiranya berlaku hujan berterusan dalam tempoh tujuh hingga lapan jam di Rantau Panjang dan di hulu Sungai Golok.

“Bagaimanap­un, kita menasihatk­an kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan paras air sungai berdekatan mereka dan mengambil langkah awal seperti mengemas dokumendok­umen penting sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Imran berkata, tinjauan pihaknya kelmarin juga menunjukka­n aliran air sungai adalah deras berikutan peningkata­n paras air, selain penduduk kampung dinasihatk­an untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai untuk mengelakka­n sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Pihak kami sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental dalam menghadapi musim tengkujuh ini, dan sekiranya berlaku banjir kita akan tukarkan tempoh bekerja daripada 12 jam kepada 24 jam serta-merta dengan penglibata­n seramai 13 anggota berbanding tempoh biasa hanya lapan anggota.

“Daripada kesediaan aset ketika ini, sebanyak tiga bot aluminium sentiasa dipastikan berada dalam keadaan baik dan akan diperiksa secara purata dalam tempoh dua hari selain kita turut mempunyai dua lori Hicom sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Cuaca di seluruh Kelantan pada pagi semalam adalah mendung dengan sesekali hujan renyai di beberapa kawasan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia