Utusan Borneo (Sarawak)

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini melepasi paras bahaya

-

KOTA BHARU: Penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas diingatkan supaya berwaspada kerana paras air di sungai itu kini telah melepasi paras bahaya susulan hujan yang berlarutan sejak semalam.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat pukul 10 pagi ini paras air di sungai itu berada pada bacaan 9.02 meter iaitu melepasi sedikit paras bahaya 9 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail berkata paras air di Sungai Golok di sini ketika ini meningkat disebabkan hujan lebat sekali-sekala di kawasan berkenaan sejak kelmarin.

“Ia adalah bacaan paras air tertinggi setakat ini. Peningkata­n paras air sungai naik secara mendadak berikutan berlaku taburan sesekali hujan lebat di daerah ini selain di Hulu Golok sejak kelmarin.

“Sekiranya paras air mencapai bacaan 10 meter, ia akan mengakibat­kan banjir dan akan terdapat pemindahan mangsa-mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Imran berkata, beberapa penempatan di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang termasuk Kampung Kusar, Kampung Lanchang, Kampung Bongor dan Kampung Terusan sudah dinaiki air sekitar 0.4 meter.

“Setakat ini masih tiada penduduk dipindahka­n dan pihak kami menasihatk­an kepada penduduk terutamany­a di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkina­n banjir akan melanda daerah ini jika keadaan hujan lebat berterusan.

“Malah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Rantau Panjang juga sudah bersiap sedia sepanjang masa dengan anggota dan juga asetaset, terhadap sebarang kemungkina­n banjir,” katanya.

Menurut InfoBencan­a Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga jam 8 pagi semalam, tiada pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri, dan cuaca di seluruh Kelantan pada pagi ini adalah mendung di beberapa kawasan dengan sesekali hujan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia