Utusan Borneo (Sarawak)

Banyakkan cawangan untuk daftar ahli BERSATU: Rina

-

KUALA LUMPUR: Semua barisan kepimpinan dan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu mengatur gerak kerja dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), antaranya membuka lebih banyak cawangan bagi menarik orang ramai mendaftar sebagai ahli parti.

Ketua Srikandi BERSATU Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, parti itu perlu mencari ahli daripada pelbagai latar belakang dan usia untuk mendapatka­n sokongan dari segenap lapisan masyarakat.

“Selain penambahan ahli ini, adalah perlu untuk menambahka­n lagi sokongan terhadap parti kita semasa PRU ke-15 nanti. Pemerkasaa­n Srikandi dan parti dilihat amatlah perlu demi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpuna­n Agung Tahunan Srikandi BERSATU 2020 semalam.

Semalam, BERSATU mengadakan Perhimpuna­n Agung Tahunan (PAT) yang bermula dengan sayap Srikandi pada sebelah pagi, diikuti Armada dan diakhiri dengan agenda utama PAT pada petangnya.

Ia dijalankan secara maya dari lokasi yang ditetapkan mengikut negeri-negeri dan dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan negara berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.

Rina berkata, dengan lebih ramai yang mendaftar sebagai ahli BERSATU dan lebih banyak cawangan yang dibuka maka lebih besar potensi parti itu untuk mencapai kemenangan dalam PRU akan datang.

“Perkara ini amatlah penting untuk membuktika­n bahawa kita sentiasa bersama masyarakat dan sentiasa akan membantu komuniti masyarakat yang memerlukan,” katanya, sambil menambah jumlah keahlian Srikandi ketika ini menghampir­i 200,000 orang.

Dalam ucapan itu, Rina turut menyeru supaya suara Srikandi mewakili wanita di negara ini terutamany­a dalam membangkit­kan isu berkaitan kepentinga­n rakyat, agama dan bangsa.

Rina juga berkata pihaknya berharap lebih ramai wanita di dalam parti itu diberi peluang untuk bertanding dalam PRU akan datang.

Rina yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata adalah menjadi agenda utamanya dalam memperkasa­kan peranan wanita dalam negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia