Utusan Borneo (Sarawak)

Perak salur RM50,000 kepada 59 pusat khidmat DUN bantu penduduk terjejas

-

IPOH: Kerajaan negeri akan menyalurka­n sumbangan tunai RM50,000 kepada semua 59 pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi membantu penduduk terjejas akibat banjir, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkekat­kan (PKPD).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sumbangan itu yang turut meliputi 24 pusat khidmat DUN di bawah pembangkan­g, melibatkan peruntukan sebanyak RM2.95 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Ke-4.

Kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderian­g, sumbangan tersebut merupakan tanda keprihatin­an pentadbira­n kerajaan negeri kepada golongan sasar, yang memerlukan pembelaan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, bagi meringanka­n beban mereka mengharung­i tempoh yang mencabar ketika ini.

“Kerajaan negeri berharap agihan bantuan ini melalui setiap pusat khidmat DUN akan dilaksanak­an secara teratur dan telus, bagi mencapai matlamatny­a iaitu sampai kepada golongan sasar tanpa mengira perbezaan politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Setakat jam 7 pagi semalam, terdapat 187 penduduk terjejas banjir di tiga daerah iaitu Kerian, Hilir Perak dan Manjung, manakala terdapat dua kawasan dikenakan PKPD, iaitu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Yahyawiyah, Padang Rengas serta Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di sini.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berharap, setiap pusat khidmat DUN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamata­n Negara dan Kementeria­n Kesihatan, dalam menjalanka­n urusan agihan bantuan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya sebelum ini kerajaan negeri menyalurka­n sumbangan dengan jumlah keseluruha­n RM80,000 kepada setiap 59 pusat khidmat DUN, yang diberikan secara empat kali bayaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac hingga Mei, untuk disalurkan kepada rakyat memerlukan di kawasan masing-masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia