Utusan Borneo (Sarawak)

Lampard ingin balas jasa besar Abramovich dengan kejuaraan

-

LONDON: Frank Lampard berkata dia rasa bangga dikaitkan dengan Chelsea sewaktu era Roman Abramovich tetapi tidak akan berehat sehingga mereka kembali ke puncak sukan bola sepak di England.

Pengurus berusia 42 tahun itu memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara sebagai pemain di Stamford Bridge dan kini memasuki musim kedua di atas kerusi pengurus yang panas.

Lampard, penjaring rekod sepanjang zaman bagi Chelsea, menyertai kelab itu pada 2001 dan merupakan bahagian yang penting dalam kebangkita­n mereka ketika mereka dibiayai bilionair Rusia itu.

Perlawanan pada malam ini (Ahad) menentang pengurus lamanya di Chelsea, Jose Mourinho, sekarang jurulatih Tottenham, adalah yang ke-1,000 bagi kelab itu sejak Abramovich menjadi pemilk pada 2003.

Suntikan dana oleh Abramovich mengubah kelab itu daripada kelab biasa kepada pemenang kejuaraan bersiri – mereka sudah memenangi lima kejuaraan EPL sejak 2005.

“Walaupun anda dapat melabur sebanyak mungkin dalam bola sepak, anda hanya memenangi sesuatu menerusi usaha gigih semata-mata dan kakitangan di bawah, tidak kira sama ada anda membelanja­kan wang ataupun tidak dalam Liga Perdana moden,” kata Lampard.

“Saya rasa bangga dikaitkan dengan kelab ini dalam suka dan duka.”

Lampard berkata musim lepas merupakan “tempoh peralihan” bagi Chelsea, yang layak ke Liga Juara-Juara walaupun dilarang membeli dan menjual pemain sebagai hukuman kerana melanggar peraturan mengenai pendaftara­n pemain muda.

Abramovich berbelanja besar lagi untuk musim kedua Lampard, dengan melabur £220 juta (RM1.54 bilion) ke atas Timo Werner, Kai Havertz, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Edouard Mendy, selain gaji besar untuk Thiago Silva, yang tiba secara bebas dan percuma dari Paris Saint-Germain.

“Sekarang kami sudah melabur, kami mahu bertambah bagus dan saya mahu banyak membantu ke arah itu, itulah kerja saya sebagai ketua jurulatih, untuk cuba membawanya ke depan,” tambah Lampard.

“Saya benar-benar bersyukur di atas apa yang telah dibawa oleh Roman Abramovich kepada kelab ini dan bahagian saya dalam perjanjian adalah untuk berusaha sedaya upaya.”

 ??  ?? LAMPARD
LAMPARD

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia