Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu pejabat FORUM dijangka siap hujung 2021 atau awal 2022

-

KUCHING: Kerja-kerja pembinaan ibu pejabat Persatuan Persekutua­n Orang Ulu Sarawak, Malaysia (FORUM) di Tudan, Miri telah dimulakan dan dijangka siap pada hujung tahun depan atau awal 2022.Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala berkata, projek yang terletak di tanah seluas lima ekar itu telah diluluskan dan diserahkan baru-baru ini.

“Kontraktor yang telah diamanahka­n telah memulakan kerja di lokasi dan kita berharap menjelang akhir tahun depan atau awal tahun 2022, kita akan mempunyai bangunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam ‘Pemung Kejaie 2020’ anjuran bersama Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) Cawangan Kuching dan Persatuan Peng Leto Kenyah (PLKS) Cawangan Kuching di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Gerawat yang merupakan penasihat FORUM berkata, bangunan itu akan menjadi ibu pejabat FORUM yang akan memenuhi semua keperluan sembilan ahli persatuan.

“Kita harap ini akan menjadi bangunan ikonik yang akan menjadi kebanggaan masyarakat Orang Ulu di Sarawak kerana kita telah kehilangan ‘Rumah Orang Ulu’ di Kuching beberapa tahun yang lalu,” katanya.

Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah menerima permintaan FORUM untuk membina ibu pejabat di mana sebidang tanah telah diberikan (di Miri) dan geran sebanyak RM25 juta telah diluluskan untuk membina pusat itu.

“Daripada geran RM25 juta, kita sudah menerima RM10 juta (tahun lalu) untuk pembinaan bangunan itu,” katanya.

Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menambah, majlis perasmian akan diadakan sebaik sahaja pembinaan bangunan selesai dan Abang Johari serta masyarakat Orang Ulu akan dijemput untuk menyaksika­n perasmian bangunan tersebut.

FORUM katanya, mempunyai sembilan persatuan Orang Ulu iaitu PKKS, Persatuan Kayan Sarawak, Persatuan Lun Bawang Sarawak, Rurum Kelabit Sarawak, Persatuan Pembanguna­n Tipun Penan Sarawak, Persatuan Berawan Sarawak, Persatuan Masyarakat Saban Miri, Persatuan Lakiput Sarawak dan Persatuan Bisaya Sarawak. Sementara itu, Gerawat memaklumka­n bahawa Abang Johari juga telah memperuntu­kkan RM10 juta kepada Dewan Perniagaan dan Perindustr­ian Orang Ulu (OUCCI).

“Kita telah mendaftark­an OUCCI dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan dan semua usahawan Orang Ulu digalakkan memohon menjadi ahli,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberi jaminan untuk memberikan geran sebanyak RM7,000 kepada PKKS Cawangan Kuching dan PLKS Cawangan Kuching tahun depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia