Utusan Borneo (Sarawak)

Jurugambar pemenang anugerah cedera semasa membuat liputan

-

PARIS: Sebuah kumpulan kebebasan media telah mengecam kecederaan yang tidak dapat diterima yang dialami jurugambar Syria yang pernah memenangi anugerah semasa membuat liputan pada protes Paris terhadap kekejaman polis.

Ameer Alhalbi, jurugambar bebas yang bekerja bagi Polka Magazine dan AFP, sedang membuat liputan mengenai tunjuk perasaan pada hujung minggu lepas yang membantah keganasan polis dan undang-undang baharu kerajaan Perancis yang menyekat perkongsia­n gambar anggota polis.

Dalam gambar yang dikongsika­n secara meluas dalam Twitter, muka Alhalbi kelihatan lebam dengan sebahagian kepalanya dibaluti kain kasa.

Christophe Deloire, setiausaha agung Reporters Without Borders, menyatakan dalam ciapan bahawa lelaki berusia 24 tahun itu tercedera di Place de la Bastille setelah dipukul dengan belantan polis dan mengecam keganasan itu.

“Ameer datang dari #Syria ke #Perancis untuk berlindung, seperti beberapa wartawan Syria lain.

“Negara dengan hak asasi manusia tidak seharusnya mengancam mereka, namun melindungi mereka,” kata beliau dalam satu ciapan kedua.

Deloire turut menyatakan Alhalbi telah dikenal pasti dengan jelas sebagai seorang wartawan.

Dimitri Beck, pengarah fotografi Polka, menyatakan Alhalbi yang patah hidung dan tercedera di bahagian dahi segera dibawa ke hospital.

Alhalbi telah memenangi beberapa anugerah antarabang­sa, termasuk hadiah kedua dalam kategori ‘Spot News’ untuk World Press Photo pada 2017, kebanyakan­nya bagi liputan beliau mengenai konflik Syria di bandar asalnya Aleppo bagi AFP. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia