Utusan Borneo (Sarawak)

Cadangan penubuhan Majlis Presiden zahir keterbukaa­n PM: Azmin

-

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Majlis Presiden yang dianggotai ketua-ketua parti Perikatan Nasional (PN) serta seruan agar semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar menzahirka­n kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang inklusif dan terbuka.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia demi mewujudkan kerajaan kukuh dan stabil yang dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat, lebih-lebih lagi tatkala negara sedang memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

“Seperti dinyatakan kelmarin, beliau (Muhyiddin) sendiri telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melihat bagaimana BN dan PN dapat meletakkan kepentinga­n negara dan rakyat mengatasi kepentinga­n kumpulan dan parti politik.

“Yang penting semua parti politik yang mendukung dasar kerajaan dapat bersama dalam satu gabungan yang lebih teratur dan berstruktu­r dalam mencapai perpaduan utuh demi rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan barang keperluan asas bagi program Gombak Food Bank di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Kelmarin, Muhyiddin dalam ucapannya dasarnya sempena Perhimpuna­n Agung Tahunan Bersatu berkata adalah baik jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecahbe­lah dalam kabilah-kabilah kecil sekali gus dapat mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.

Muhyiddin turut menyatakan bahawa krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini telah mempertaut­kan pimpinan politik Melayu dalam BERSATU, UMNO serta PAS dalam satu saf politik yang sama, dan pertautan itu adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri berkata Bersatu dan PN merupakan wadah perjuangan yang mempunyai matlamat jelas dan ia dibuktikan melalui penerimaan rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

“Kita lihat dalam tempoh singkat rakyat yakin dengan masa depan BERSATU dan terbukti di Sabah yang mana rakyat mendukung BERSATU dan PN, kita melihat ia satu perkembang­an positif,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia