Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk rayu tindakan segera atasi masalah banjir di Manjoi

-

IPOH: “Saya tidak kuat tetapi terpaksa kuatkan diri menyelamat­kan barangan dalam rumah ini, dan melakukan kerja pembersiha­n setiap kali banjir,” luah warga emas Siti Aishah Ahmad, 80, yang tinggal di Kampung Sungai Kati, Manjoi di sini semalam.

Beliau yang bertubuh kecil dan tinggal bersama seorang cucu di sebuah rumah kampung yang terletak di tepi Sungai Kati memberitah­u, hujan berterusan semalam (kelmarin) menyebabka­n banjir lumpur paling teruk pernah melanda rumahnya, sejak lebih 50 tahun dia mendiami rumah itu.

Menurut ibu kepada empat anak yang kini berada di ibu negara itu, rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira semeter petang kelmarin, menyebabka­n beliau terpaksa mengerah tenaga mengalihka­n perabot dan barangan elektrik seperti televisyen ke tempat selamat.

“Walaupun sudah biasa dengan masalah ini, namun banjir pada kali ini merupakan paling teruk kerana paras air yang naik adalah dua kali ganda daripada biasa.

“Saya harap pihak kerajaan dapat memberi bantuan dengan membina benteng yang tinggi di tepi sungai ini, supaya tidak memasuki rumah penduduk dan menyelesai­kan masalah banjir di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Katanya air mulai surut awal pagi tadi (semalam), namun beliau juga terpaksa membersihk­an sampah-sarap yang mengalir dari kawasan sungai tersebut setiap kali banjir, dan berharap pihak berwajib mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah pencemaran sungai itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk berhampira­n Abdul Rahim Asri, 42, turut merayu tindakan segera kerana rumahnya dilanda banjir teruk daripada kebiasaann­ya sebanyak tiga kali pada bulan ini, akibat limpahan air Sungai Pari dan Sungai Kati.

“Puas saya mengemas dan membersihk­an kawasan rumah termasuk sampah yang mengalir, kemudian berlaku semula banjir hingga menyebabka­n ketiga-tiga kereta di rumah ini rosak selepas ditenggela­mi air.

“Saya juga tidak dapat menternak ayam lagi kerana kira-kira 20 ekor ayam ternakan telah mati lemas akibat banjir sebelum ini,” katanya.

Pemandu lori itu yang tinggal bersama isteri di kediaman berkenaan berkata, beliau kini hanya membela itik dan angsa, kerana haiwan itu mampu berenang dan terapung sekiranya berlaku musibah banjir.

Kelmarin, tular di media sosial menunjukka­n gambar paras air Sungai Pari yang tinggi luar biasa susulan hujan berterusan, yang mencetuska­n kebimbanga­n penduduk malah lebih memburukka­n pemandanga­n dengan longgokan sampah di kawasan sungai itu.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin ketika dihubungi memberitah­u, Majlis Bandaraya Ipoh akan mengarahka­n kontraktor selenggara­an tahunan bagi membantu pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk membersihk­an sampah-sampah berkenaan.

“Sampah-sampah berkenaan telah hanyut akibat hujan lebat dan aliran deras sungai tersebut,” katanya.

Katanya tindakan kompaun maksimum RM250 boleh diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pelupusan Sampah, sekiranya didapati ada pihak yang membuang sampah meratamera­ta termasuk ke dalam sungai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia