Utusan Borneo (Sarawak)

Banjir termenung: Sudah lima hari Kampung Padang Garam masih digenangi air

-

MARANG: Meskipun cuaca kini telah kembali cerah dan panas sejak kira-kira empat hari lepas, namun penduduk di Kampung Padang Garam di sini masih ‘terperangk­ap’ di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan paras air di kawasan rumah masing-masing masih tidak banyak berubah.

Ia merupakan satu fenomena yang dirujuk ramai sebagai ‘banjir termenung’, apabila air bagaikan bertakung di seluruh kampung, tidak dapat mengalir kemana-mana.

Penduduk kampung Napisah Said, 71, berkata beliau terpaksa tinggal di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang di sini, sejak 24 November lepas iaitu hari pertama banjir gelombang kedua melanda Terengganu sehingga ke hari ini (semalam), berikutan rumahnya masih dinaiki air hingga ke paras pinggang.

“Pada hari pertama banjir, air naik ke rumah hingga paras dada, hari ini (semalam) air baru surut ke paras pinggang. Bila makcik tengok orang lain dapat pulang ke rumah makcik pun berasa tidak sabar hendak pulang juga sampaikan makcik telah siap mengemas pagi semalam. Namun tengah hari tadi (semalam) penghulu kampung beritahu tidak boleh balik lagi sebab air masih tinggi.

“Kecewa juga makcik kerana bosan tidak dapat berbuat apa-apa di sini (PPS). Selalunya banjir ‘termenung’ antara seminggu hingga dua minggu. Paling lama sebulan. Harapnya kali ini tidaklah sampai sebulan. Jika tidak makcik pun turut ‘termenung’ sekali,” katanya secara berjenaka ketika ditemui Bernama di PPS SMK Merchang, di sini semalam.

Warga emas itu yang tinggal bersendiri­an berikutan lima anaknya telah berkahwin dan menetap di kawasan lain berkata, banjir ‘termenung’ merupakan situasi biasa yang dihadapiny­a sejak tinggal di Kampung Padang Garam kira-kira 40 tahun lepas.

Napisah berkata beliau juga tidak pernah membeli sebarang perabot seperti sofa di rumahnya kerana enggan menanggung kerugian akibat rosak setiap kali musim banjir. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia