Utusan Borneo (Sarawak)

Tangani isu penginapan sempit pekerja asing cegah COVID-19: KP Kesihatan

-

KUALA LUMPUR: Masalah penginapan pekerja warga asing yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan isu itu tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu adalah selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Memandangk­an isu penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegar­a merupakan isu penting yang perlu ditangani, Kementeria­n Kesihatan

(KKM) menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganin­ya.

“Sehubungan itu, KKM menyambut baik tindakan penguatkua­saan Akta 446 ini oleh Kementeria­n Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya semalam.

Beliau berkata, seperti yang sering ditekankan KKM, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja, termasuk isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitar­an di tempat tinggal serta tempat kerja.

Beliau berkata, KKM memandang serius peningkata­n kejadian penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja memandangk­an tenaga kerja adalah aset berharga sesebuah syarikat mahupun organisasi, baik pekerja warganegar­a mahupun bukan.

Terdahulu, Dr Noor Hisham pada tengah hari tadi meninjau aktiviti di lapangan bagi Kluster Tapak Bina Awan Baru.

Kluster itu yang melibatkan daerah Kepong dan Cheras di sini, diisytihar­kan kelmarin susulan kes-kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Sentul.

Beliau berkata, hingga 8 malam 28 November, seramai 482 individu telah disaring dengan 410 kes dilaporkan positif.

“Penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat di kawasan tapak bina dan kawasan sekitar tempat kerja telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kepong pada 27 November.

“Tapak bina ini telah ditutup di bawah Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 November bagi tujuan pembersiha­n dan disinfeksi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia