Utusan Borneo (Sarawak)

SUSPEK UGUT BUNUH PEGAWAI KASTAM MENYERAH DIRI

-

Seorang lelaki diburu polis disyaki terbabit dalam kes ugutan menggunaka­n peluru hidup terhadap seorang pegawai kastam pada 26 November lalu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sungai Merah, di sini semalam.

Timbalan Pesuruhjay­a Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata suspek berumur 35 tahun itu tampil di balai berkenaan jam 9.10 pagi.

“Suspek dipohon reman esok (hari ini) dan dieskot ke Kuching untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit.

Menurut Fisol, hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis Amphetamin­e dan Methamphet­amine.

Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati suspek turut memiliki lapan rekod jenayah lampau.

“PDRM memandang serius dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ugutan terhadap anggota penguat kuasa,” jelasnya sambil menambah, siasatan lanjut masih dilakukan kemungkina­n suspek turut terbabit dalam kejadian jenayah lain.

Pada Khamis lalu, seorang pegawai kastam membuat laporan polis selepas menerima peluru hidup dalam satu bungkusan disertakan dengan nota berunsur ugutan, menyebut ‘got two bullets, one long one short, which one you want’ di kediamanny­a di Jalan Matang, Kuching.

Bertindak atas laporan tersebut, polis menahan tiga lelaki pada Jumaat lalu berumur antara 35 hingga 39 tahun.

Semua suspek kini dalam tahanan reman empat hari untuk siasatan lanjut sehingga esok dan semakan rekod lampau mendapati dua suspek terlibat dalam kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952.

 ??  ?? KES SELESAI: Fisol mengadakan sidang media di bilik mesyuarat IPD Sibu bersama Stanley (kanan) semalam.
KES SELESAI: Fisol mengadakan sidang media di bilik mesyuarat IPD Sibu bersama Stanley (kanan) semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia