Utusan Borneo (Sarawak)

Dua lelaki khianat baling isyarat suar direman

-

MIRI: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki melakukan khianat dengan membaling isyarat suar ke sebuah rumah di Bandar Baharu Permyjaya di sini awal pagi kelmarin diperintah­kan Mahkamah Majistret di sini supaya direman lima hari.

Perintah itu dikeluarka­n Majistret Md Syafique Md Hilmie setelah membenarka­n permohonan reman dikemukaka­n pegawai penyiasat Inspektor Norashikin Adin.

Dalam permohonan­nya, Norashikin memberitah­u pada pagi 29 November lalu, seorang lelaki membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, mangsa, 45, mendakwa sekitar jam 4 pagi hari sama, ketika berada di rumahnya di Bandar Baharu Permyjaya, dia dikejutkan isterinya yang terdengar bunyi pagar rumah mereka dibuka.

Mangsa kemudian melihat keluar rumah dan ternampak kelibat dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan pagar sambil membaling sesuatu ke arah rumahnya.

Melihat keadaan itu, mangsa terus menjerit ke arah dua lelaki terbabit dan kemudian melarikan diri.

Selang 30 minit kemudian, dua lelaki terbabit datang semula ke kawasan rumah mangsa dan membaling sebiji mercun terbakar ke arah rumahnya sebelum melarikan diri.

Selepas dua kejadian itu, mangsa yang berasa tidak puas hati kemudian bertindak menunggu di luar rumah manakala keretanya diletakkan di simpang berhampira­n kerana merasakan dua lelaki terbabit datang semula.

Seperti dijangka, sekitar jam 5.30 pagi, dua lelaki terbabit datang semula ke kawasan rumah mangsa dan cuba membaling mercun ke arah keretanya namun tidak berjaya.

Mangsa kemudian mengejar dua lelaki terbabit menggunaka­n keretanya sehingga terlanggar motosikal suspek dan berjaya menahan salah seorang daripada lelaki terbabit.

Manakala seorang lagi suspek melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak di Bandar Baharu Permyjaya.

Ketika ditanya oleh mangsa, suspek memberitah­u bahawa dia diarahkan oleh seorang lelaki lain melakukan perbuatan itu.

Bertindak atas maklumat sekitar jam 9.10 pagi, pada 29 November lalu di tepi Jalan Kuala Baram Bypass, polis menangkap suspek dan merampas sebuah motosikal, sebuah topi keledar, beg tangan dan wang tunai RM7 daripadany­a untuk dijadikan barang kes.

Manakala suspek kedua ditangkap jam 12.20 tengah hari, hari yang sama di sebuah rumah di Lorong Jati 2F, Desa Senadin di sini kerana disyaki terbabit sama dalam kes ini.

Semasa tangkapan dilakukan, polis merampas satu butir kelongsong suar ‘Rocket Parachute’, 32 unit suar ‘Rocket Parachute’ dan 51 unit isyarat suar ‘Marine Red’ daripada suspek untuk dijadikan barang kes.

Permohonan lanjut, Norashikin memberitah­u reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas keduadua suspek berusia 21 dan 50 tahun masing-masing dari Bekenu dan Desa Senadin amat diperlukan bagi membolehka­n polis menjalanka­n siasatan terperinci.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia