Utusan Borneo (Sarawak)

Stigma terhadap penghidap HIV-AIDS masih menebal dalam kalangan masyarakat?

- Oleh Muhammad Basir Roslan

“SAAT suami meninggal dahulu (11 Mei 2020), dunia saya terasa begitu gelap gelita kerana kami berdua adalah pesakit hidup dengan HIV (PLHIV) dan sama-sama memahami situasi kehidupan kami, namun saya perlu terus kuat untuk anak.”

Itulah luahan hati kak Yati (bukan nama sebenar) apabila menceritak­an kisah hidupnya sebagai seorang PLHIV, dan penulis dapat melihat betapa beliau menahan air matanya saat berkongsi pahit maung kehidupann­ya.

Bagaimanap­un, wanita berumur 44 tahun itu tetap tabah menghadapi ujian hidup, dan berkata biarpun suami sudah tiada di sisi, beliau bersedia menggalas tanggungja­wab sebagai ketua keluarga mencari rezeki untuk ketiga-tiga anaknya.

Ketika diminta bercerita bagaimana beliau didiagnosa virus HIV, Kak Yati berkata beliau mengetahui­nya pada 2008, dan pada ketika itu beliau masih menyusukan anak ketiganya yang berumur satu tahun setengah.

“Saya dan suami disahkan positif HIV ketika kami menjalani ujian saringan di hospital, kami berdua pasrah dengan ketentuan Allah, namun saya tetap risau sekiranya anak yang saya susui terkena jangkitan virus HIV.

“Namun rezeki dari Allah, Allah kurniakan kesihatan kepada bayi saya apabila ujian HIV yang dilakukan doktor menunjukka­n keputusan negatif, dan saya bersyukur anak saya semuanya selamat dan bebas daripada jangkitan virus berbahaya ini, ia juga satu anugerah terindah,” jelas beliau ketika dihubungi menerusi panggilan video Zoom, baru-baru ini.

KELUARGA MASIH MEMAHAMI

Kak Yati bagaimanap­un mengakui, pada asalnya beliau risau untuk menceritak­an situasi kehidupann­ya walau kepada ibu bapa dan saudara mara terdekatny­a kerana bimbang akan dipinggirk­an mereka, namun ternyata jangkaanny­a meleset sama sekali.

“Setelah bertahun saya rahsiakan, barulah saya berani membuka rahsia mengenai situasi saya baru-baru ini, saya bersyukur kerana mereka amat memahami dan tetap memberi dorongan.

“Bagaimanap­un di tempat kerja, tidaklah saya dedahkan rahsia ini dengan majikan dan rakan-rakan sekerja, kerana bimbang dengan tahap stigma masyarakat umum yang saya kira mungkin masih agak tinggi dan menebal,” jelasnya.

Sebagai seorang peniaga baju secara kecil-kecilan di pasar raya sekitar Lembah Klang Kak Yati turut mengakui, pandemik COVID-19 dan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perniagaan­nya, dan berharap agar keadaan ekonomi negara segera pulih.

“Sejak kematian suami, saya terpaksa uruskan perniagaan berseorang­an, dan perlu menjaga anak bongsu yang kini bersekolah menengah. Sebagai seorang PLHIV, saya perlu sentiasa memakan ubat setiap hari dan perlu terus kekal aktif dan sihat untuk menyara keluarga. Inilah cabaran yang perlu saya hadapi,” kongsinya.

Mengikut laporan dari Kementeria­n Kesihatan, untuk tahun 2019 jumlah keseluruha­n yang dijangkiti dianggarka­n 87,581 orang. Yang telah dikesan seramai 77,903 orang, dengan kemungkina­n lebih 10,000 orang tidak tahu mereka dijangkiti HIV. Daripada jumlah yang telah dikesan, 85 peratus adalah lelaki dan 75 peratus berumur antara 20-39 tahun.

Tidak semua yang dijangkiti HIV akan mencapai peringkat AIDS. Jika mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) mendapat diagnosis awal dan memulakan ubat dengan segera, peringkat AIDS boleh dielakkan dan boleh hidup seperti orang biasa.

RAWATAN INTENSIF

Sementara itu, Pakar Penyakit Berjangkit UiTM Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh pula menjelaska­n ubat untuk merawat HIV sudah ada sejak 1987 dan sejak dari itu sudah ada banyak perkembang­an dalam bidang rawatan HIV, dengan peningkata­n jenis dan kualiti ubat yang dihasilkan.

“Ubat yang ada sekarang jauh lebih berkesan, dengan kesan sampingan yang sangat minimum. Menggunaka­n ubat-ubat terkini PLHIV boleh hidup sihat seperti orang biasa dengan jangka hayat yang normal. Jika PLHIV memakan ubat dengan betul, dia tidak akan menjangkit­kan virus kepada orang lain kerana ubat boleh menurunkan bilangan virus sehingga tidak dapat dikesan dalam darah.

“Ubat yang ada sekarang walaupun boleh menurunkan bilangan virus ke tahap bawah kesan dan membenarka­n mereka yang hidup dengan HIV dapat menjalani hidup yang normal, namun ia tidak boleh menghapusk­an virus sepenuhnya. Buat masa sekarang, masih perlu memakan ubat seumur hidup,” katanya ketika dihubungi.

Dr Rosnida menjelas lanjut, perkembang­an dalam bidang HIV bukan hanya bertumpu kepada rawatan, tetapi juga pada pencegahan dengan kajian-kajian terbaru membuktika­n ada beberapa kaedah yang berkesan untuk mengelakka­n jangkitan HIV.

Jika kaedah-kaedah ini dapat dilaksanak­an dengan sepenuhnya ada kebarangka­lian kita dapat menurunkan jangkitan HIV kepada sifar, jelasnya.

Paling penting ialah usaha menambah pengetahua­n umum mengenai HIV juga perlu melibatkan pengetahua­n pencegahan, sama ada jangkitan melalui seks tanpa perlindung­an atau perkongsia­n jarum, Dr Rosnida menegaskan.

“Dalam beberapa tahun ini, kajian membuktika­n terdapat kaedah-kaedah mengelakka­n jangkitan HIV secara berkesan dan mudah dilakukan. Contohnya, Pre-exposure Prophylaxi­s (PrEP) dan Postexposu­re Prophylaxi­s (PEP) yang boleh mengelakka­n jangkitan HIV sebelum dan selepas aktiviti berisiko. Informasi ini perlu disampaika­n kepada masyarakat umum.

“Pada masa yang sama inisiatif seperti HIV Connect yang dilakukan dengan usahasama The Malaysian Society of HIV Medicine (MASHM) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) berusaha untuk menambahka­n bilangan doktor am yang berkepakar­an untuk menyediaka­n PrEP dan PEP bagi memudahkan golongan berisiko mendapat rawatan pencegahan,” katanya.

HAPUSKAN STIGMA

Dr Rosnida melontarka­n pandangann­ya bahawa stigma buruk terhadap PLHIV dan penghidap AIDS tidak sepatutnya wujud kerana di tahap manapun kehadiran stigma itu berada, ia tetap dirasakan oleh setiap orang yang hidup dengan HIV.

“Masalah utama yang saya lihat dari segi stigma, bukan sahaja ia melanggar hak asasi PLHIV, tetapi ia juga memberi kesan negatif kepada kesediaan PLHIV untuk hadir ke fasiliti kesihatan untuk diagnosis dan rawatan awal seterusnya memberi kesan negatif kepada PLHIV dan keluarga mereka serta usaha pencegahan jangkitan. Sekiranya PLHIV menerima diagnosis awal dan makan ubat dengan betul ia tidak akan menjangkit­i orang lain,” katanya.

Beliau mencadangk­an agar semua agensi bekerjasam­a untuk meningkatk­an kesedaran dan pengetahua­n umum mengenai HIV dan AIDS serta membangkan­g mitos-mitos yang tidak tepat mengenainy­a.

“Dengan cara ini kita dapat mengurangk­an stigma dan diskrimina­si. Kita perlukan masyarakat yang faham bahawa langkah terbaik untuk mengurangk­an jangkitan HIV adalah bermula dengan penguranga­n stigma dan diskrimina­si supaya lebih ramai orang yang berisiko datang untuk diuji dan jika didapati positif mendapatka­n rawatan sebaiknya, dan ini akan meneruskan kitaran mengurangk­an jangkitan kehadapan,” ujarnya.

Artikel ini bersempena Sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut setiap 1 Disember.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia