Utusan Borneo (Sarawak)

Kes saman Indira Gandhi: PDRM dan tiga pihak lagi diperintah fail pembelaan

-

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga pihak lagi semalam diperintah untuk memfailkan pernyataan pembelaan mereka dalam kes saman yang difailkan seorang guru tadika M. Indira Gandhi.

Saman itu berhubung dakwaan PDRM gagal melaksanak­an waran komital untuk menangkap bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangka­n anak perempuan mereka berusia 12 tahun yang dilarikan lelaki itu, 11 tahun lepas.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi pemberita berkata, kesemua defendan iaitu Ketua Polis Negara (KPN), PDRM, Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia diarah memfailkan pernyataan pembelaan sebelum atau pada 2 Disember ini.

“Plaintif (Indira) pula diarah untuk memfailkan balasan terhadap pernyataan pembelaan sebelum atau pada 16 Disember ini dan pengurusan kes selanjutny­a ditetapkan pada 30 Disember ini. Kesemua defendan juga telah memasukkan memorandum kehadiran pada 18 November lalu selepas saman diserahkan kepada mereka awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas prosiding pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof yang dijalankan menerusi e-Review (dalam talian), dan kesemua defendan diwakili Peguam Persekutua­n Safiyyah Omar.

Dalam pernyataan tuntutanny­a yang difailkan pada 28 Oktober lepas , Indira, 45, selaku plaintif mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghirauk­an perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutua­n kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembali­kan Prasana Diksa kepadanya.

Indira mendakwa KPN dalam kenyataan media pada 27 Januari lepas telah menyatakan bahawa beliau mengetahui lokasi bekas suaminya yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanatha­n, 51, dan sedang berusaha mencapai suatu ‘akhiran bahagia’ untuk plaintif.

“Kenyataan defendan pertama dengan jelas menunjukka­n bahawa defendan pertama tidak menangkap Muhammad Riduan (Patmanatha­n) dan mengembali­kan Prasana kepada saya walaupun beliau mempunyai pengetahua­n akan lokasi Muhammad Riduan,” kata wanita itu.

Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM bagi melaksanak­an waran komital terhadap Muhammad Riduan seperti yang diperintah­kan Mahkamah Persekutua­n pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabka­n perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjuta­n sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Oleh itu, Indira antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan tort nonfeasanc­e di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat bertanggun­gjawab secara vikarius bagi tort nonfeasanc­e yang dilakukan defendan pertama.

Indira berkata, beliau telah berkahwin dengan Patmanatha­n pada 10 April 1993 dan mempunyai tiga anak hasil perkahwina­n itu.

Bagaimanap­un, beliau berkata pada 11 Mac 2009, lelaki itu telah memeluk agama Islam dan turut menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam serta memperoleh hak penjagaan kesemua anak mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009.

Menurut plaintif, beliau kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil di Ipoh bagi mendapatka­n hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka dan permohonan­nya dibenarkan pada 11 Mac 2010.

Bagaimanap­un, Indira berkata selepas itu, anak bongsu mereka iaitu Prasana telah diambil secara paksa oleh Muhammad Riduan. Pasangan itu telah bercerai pada 8 Ogos 2012.

Indira berkata pada 30 Mei 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintah­kan Muhammad Riduan dipenjarak­an sehingga lelaki itu memulangka­n anak bongsu mereka kepadanya dan beliau juga telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sama bagi mendapatka­n perintah mandamus supaya defendan pertama menguatkua­sakan perintah komital terhadap Muhammad Riduan.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 September 2014 membenarka­n permohonan­nya namun keputusan itu diketepika­n Mahkamah Rayuan.

Bagaimanap­un,Mahkamah Persekutua­n pada 29 April 2016 membenarka­n rayuannya dan memutuskan supaya Muhammad Riduan ditangkap dan waran komital perlu dilaksanak­an terhadap lelaki itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia