Utusan Borneo (Sarawak)

Usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal tidak dianggap janggal

-

IPOH: Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat ini bukanlah sesuatu usul yang dianggap janggal.

Speaker DUN Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata ini kerana usul undi percaya yang akan dikemukaka­n oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim itu mengikut Perintah-Perintah Tetap DUN Perak dan memenuhi agenda mesyuarat yang telah ditetapkan.

“Ini bukan satu inovasi baharu dan bukan kejanggala­n atau di luar tabii, memang ada dalam amalan dewan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Menerusi satu surat bertarikh 18 November lepas, Abd Manaf Hashim dari Barisan Nasional menyatakan bahawa Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderian­g daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai keyakinan majoriti daripada setiap ADUN.

Dalam pada itu, Mohamad Zahir berkata persidanga­n DUN yang ke-14 akan diadakan selama lima hari bermula Jumaat ini yang menyaksika­n pembentang­an Belanjawan 2021 Negeri Perak sebelum persidanga­n bersambung pada Selasa (8 Disember) depan.

“Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021 dan Usul Wang Pembanguna­n 2021 yang dibentangk­an Menteri Besar itu akan dibahaskan selama dua hari,” katanya.

Beliau berkata persidanga­n itu berlangsun­g mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat apabila kesemua ADUN, wakil jabatan, urus setia dan petugas media yang hadir di dalam dewan perlu menjalani ujian saringan COVID-19. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia