Utusan Borneo (Sarawak)

Sempat lena semalam di rumah, banjir datang kembali: Mangsa

-

JASIN: “Hanya sempat tidur semalam di rumah, kini terpaksa kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS),” demikian keluhan seorang mangsa banjir Noryanti Maidin, 35, seorang mangsa banjir dari Kampung Parit Penghulu di sini.

Menurutnya dia sekeluarga dibenarkan pulang ke rumah pada Jumaat lepas, tetapi kira-kira 8 pagi Sabtu, ibunya Lijah Mansor, 51, menyedari air dari sungai berdekatan, Sungai Kundang mula melimpah ke halaman rumahnya.

Katanya lebih malang rumah baharu ibunya yang terletak di Kampung Tersusun juga digenangi air setinggi 0.3 meter sehingga menyebabka­n enam sekeluarga itu terpaksa berkampung semula di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong selepas menghuni di situ sejak 23 Nov lepas.

“Kami baharu sahaja kemas dan mencuci rumah selepas dibenarkan pulang, tetapi pada pagi Sabtu, ketika sedang memasak sarapan, air naik semakin deras bermula di bahagian dapur hingga memenuhi satu halaman rumah.

Memang kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkina­n, semua barangan berharga termasuk peralatan elektrik dan pakaian masih diletakkan di tempat tinggi kerana risau keadaan itu berulang dan ternyata ia berlaku kembali,” katanya kepada Bernama di PPS SK Parit Gantong di sini, semalam.

Noryanti berkata keadaan banjir di rumahnya itu diibaratka­n seperti fenomena ‘banjir termenung’, apabila air bertakung terlalu lama dan tidak dapat mengalir ke mana-mana.

Tambahnya, dia dan keluarga juga dinasihatk­an untuk menunggu beberapa hari di PPS SK Parit Gantong berikutan paras air di sungai berdekatan rumahnya masih tinggi meskipun cuaca kini telah kembali cerah.

“Kami terima keadaan ini sebagai ujian dan menunggu keadaan banjir ini reda demi keselamata­n diri dan keluarga, tetapi sangat bersyukur sebab layanan pihak yang bertanggun­gjawab di sini amat baik dan selesa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Faridah Mansor, 51, berkata dia juga mengalami keadaan sama apabila terpaksa menghuni semula PPS SK Gantong selepas rumahnya dinaiki air semula pada Sabtu lepas.

Katanya, banjir pada kali ini tidak seteruk yang pernah berlaku pada tahun 2006 hingga menenggela­mkan sebahagian rumahnya sehingga ke paras bumbung dan menyebabka­n dia dan keluarga menanggung kerugian apabila hampir semua perkakas rumah tidak dapat diselamatk­an. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia