Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk kampung berpesta ikan di musim tengkujuh

-

MARANG: Musim tengkujuh yang sedang melanda kini bukan sahaja menyebabka­n banjir, namun ia juga merupakan pesta ikan sungai dan ikan darat buat penduduk di Kampung Durian Pahit, di sini.

Mana tidaknya, kebanyakan kawasan sawah padi dan paya di kampung tersebut akan menjadi lubuk ikan yang seterusnya membawa limpahan rezeki buat para penduduk.

Seorang penduduk kampung Mohd Suhaimi Mohd Hasan, 25, berkata sepanjang musim tengkujuh ini beliau berjaya menangkap ikan sungai dan ikan darat seperti kelah, patin, haruan, keli, puyu dan sepat sehingga 30 kilogram sehari.

“Kita perlu tahu di mana kawasan yang menjadi lubuk ikan. Selalunya ikan banyak berkumpul di kawasan berdekatan dengan tali air dan sungai serta kawasan paya yang berhampira­n dengan hutan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Durian Pahit di sini.

Pemuda yang bekerja sendiri itu turut menjadikan aktiviti tersebut sebagai pendapatan tambahanny­a dengan menjual ikan-ikan yang ditangkap kepada penduduk kampung dan penduduk di sekitar Marang pada harga hanya RM10 hingga RM15 sekilogram.

“Selalunya, 7 pagi saya sudah mula keluar mencari ikan dan akan ada penduduk yang sudah menunggu di tepi sawah atau paya untuk membeli. Kami juga menjual ikan-ikan sungai di tepi jalan atau melakukan penghantar­an ke rumah pembeli yang tinggal di sekitar Marang,” katanya yang memperoleh keuntungan antara RM300 hingga RM400 sehari hasil menjual ikan tersebut.

Abu Aiman Musa, 31, berkata beliau tidak menjual ikan sungai yang ditangkap sebaliknya hanya dimakan seisi keluarga.

“Saya tangkap atau memancing ikan di kawasan yang senang untuk sampai sahaja. Jadi hanya dapat dua hingga tiga kilogram sehari. Cukuplah dijadikan lauk-pauk untuk keluarga di musim tengkujuh ini.

“Hanya musim tengkujuh sahaja saya tangkap ikan harihari. Waktu lain kadang-kadang sahaja kerana ikan hanya terdapat di kawasan tali air dan sungai,” katanya yang mula menangkap ikan sungai dan ikan darat sejak zaman kanakkanak lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia