Utusan Borneo (Sarawak)

Projek balang kuih PKSBRM bantu jana pendapatan

-

KUANTAN: Dengan hasrat membantu usaha ‘membuka jalan’ kepada mereka yang berminat meningkatk­an taraf ekonomi dengan menjual biskut dari dapur rumah sendiri ke lokasi pemasaran strategik, Pertubuhan Kebajikan Sentiasa Bersama Rakyat Malaysia (PKSBRM) menawarkan penyediaan 800 balang kuih yang kosong dan RM2,000 sebagai modal kepada peserta yang berminat.

Pengerusi PKSBRM Datuk Seri Sabariah Hashim berkata dengan modal itu, peserta yang terpilih diminta menyediaka­n sejenis atau dua jenis biskut pilihan, dan diberikan masa selama sebulan bagi menyiapkan­nya untuk diisi di dalam balang-balang berkenaan.

Beliau berkata bayaran jualan akan diberikan sebaik sahaja pihaknya menerima balang-balang yang berisi kuih itu, supaya peserta yang terlibat mempunyai modal pusingan untuk projek seterusnya.

“Sesiapa sahaja boleh menyertai projek ini asalkan mereka membuat sendiri biskutnya. Kami tidak mahu biskut yang dibeli dan dibungkus semula sama ada daripada orang lain atau kilang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dana Balang Biskut itu di sini, semalam.

Beliau yang juga merupakan ahli perniagaan berkata, bagi memastikan biskut dihasilkan itu benar-benar ‘homemade’ (buatan sendiri), pihaknya akan membuat lawatan ke rumah peserta, selain bagi memastikan aspek kebersihan dijaga rapi semasa proses pembuatan biskut berkenaan.

Sabariah berkata inisiatif itu dilaksanak­an khusus bagi membantu orang ramai khususnya suri rumah, ibu tunggal atau mereka yang kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19, meneroka bidang perniagaan tanpa perlu runsing mengenai modal permulaan.

“Saya juga pernah melalui fasa kesukaran berniaga semasa mula bertatih dalam dunia perniagaan sekitar tahun 90-an apabila sukar memasarkan produk minyak wangi kerana tidak mempunyai lokasi yang sesuai. Alhamdulil­lah, perniagaan kini semakin maju dan sudah tiba giliran saya untuk menyumbang,” katanya.

Seorang peserta yang ditemui, Suhaili Sulaiman, 42, berkata beliau mengambil peluang untuk menjual biskut cip coklat dan biskut kelapa ceri bagi membantu ekonomi keluarga yang kini bergantung kepada pendapatan suaminya yang berniaga air di pasar malam.

Anak jati Kuala Terengganu

itu berkata beliau ada mengambil tempahan dari keluarga dan jiran pada hari raya untuk menyediaka­n biskut, dan pengalaman itu membuatkan beliau yakin untuk cuba memasarkan biskutnya di pasaran yang lebih luas.

“Harap sedikit sebanyak duit jualan biskut dapat membantu kerana empat orang anak saya, semuanya bersekolah...yang sulung juga sudah berusia 17 tahun dan sudah pasti saya mahu dia melanjutka­n pelajaran ke institusi pengajian tinggi yang juga memerlukan belanja,” katanya.

Bagi seorang lagi peserta Fazidah Junait, 44, dari Bandar Jengka, Maran kirakira 88 kilometer dari sini pula, beliau menyifatka­n inisiatif pertubuhan itu sebagai peluang baginya untuk ‘bekerja’, kerana menerusi pembabitan­nya, beliau boleh menceburi bidang perniagaan tanpa perlu meninggalk­an rumah, lebih-lebih lagi semasa beliau perlu menjaga lima anaknya, termasuk yang bongsu, yang baru berusia setahun enam bulan.

Beliau berkata proses penghasila­n biskut kelapa dan koko itu akan dibuat pada waktu malam, supaya beliau boleh memberikan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kualiti biskut memuaskan hati pelanggan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia