Utusan Borneo (Sarawak)

Napoli abadikan kemenangan kepada Maradona

-

MILAN: Napoli, yang ‘berkabung’ selepas kematian pemain legenda kelab, Diego Maradona pada Ahad, mengabadik­an kemenangan 4-0 ke atas AS Roma sementara AC Milan menjarakka­n kedudukan di singgahsan­a Serie A Itali dengan menewaskan Fiorentina.

Di Naples, pemain memasuki padang dengan memakai jersi khas sebagai penghargaa­n kepada mendiang Maradona, yang meninggalk­an dunia ketika berusia 60 tahun pada Rabu lepas.

Kapten Napoli, Lorenzo Insigne membuka jaringan dari satu tendangan percuma selepas 30 minit permainan dan meraikan gol dengan memegang dan mencium jersi No. 10 yang biasa dipakai Maradona.

Fabian Ruiz menambah jaringan pada separuh masa kedua sebelum penjaring terbanyak kelab, Dries Mertens dan pemain gantian, Matteo Politano melengkapk­an jaringan pada 10 minit terakhir.

“Ada rasa kesedihan,” kata juruatih Napoli, Gennaro Gattuso.

“Ini adalah bandar raya yang hebat walaupun ketika cuacanya buruk dan masih ada suasana perkabunga­n.”

Tafakur seminit dilakukan sebelum sepak mula perlawanan, sama seperti semua perlawanan lain di Itali sebagai mengenang Maradona, yang menghabisk­an tujuh tahun beliau bermain di Napoi.

Satu gambar Maradona muncul di skrin besar pada minit ke-10 ketika pemain berhenti bermain untuk memberikan tepukan hormat.

Jersi Napoli dengan warna putih dan biru cerah direka khas untuk mengingati Maradona, yang membantu kelab memenangi dua kejuaraan kelab pada 1987 dan 1990 selain trofi Piala UEFA pada 1989.

“Bandar raya ini sudah melakukan segala-galanya untuk menghormat­i beliau, begitu juga pasukan. Diego akan sentiasa kekal dalam ingatan kami,” kata Gattuso.

“Beliau seorang legenda, beliau telah melakukan sesuatu yang hebat di sini. Mereka yang bernasib baik melihat kelibat beliau pasti tidak akan melupakann­ya.”

Kemenangan membolehka­n Napoli memintas Roma ke tangga kelima liga dengan kedua-dua pasukan kurang enam mata di belakang AC Milan. Milan menjarakka­n kedudukan dengan kelebihan lima mata berbanding Inter Milan dan Sassuolo selepas menewaskan Fiorentina 2-0.

Juara bertahan, Juventus, di tangga keempat, juga kurang enam mata di belakang.

Di San Siro, penjaring terbanyak liga ketika ini, Zlatan Ibrahimovi­c, hanya menjadi penonton selepas mengalami kecederaan minggu lepas.

Jurulatih Milan, Stefano Pioli juga tidak berada di tepi padang kerana menjalani rawatan koronaviru­s (COVID19) tetapi Milan melanjutka­n rekod tanpa kalah dalam liga musim ini.

Franck Kessie mengumpan bola kepada Alessio Romagnoli untuk gol pembukaan pada minit ke-17 sebelum Kessie menambah gol kedua dari sepakan penalti 10 minit kemudian.

Penjaga gol Fiorentina, Bartlomiej Dragowski menafikan Kessie gol penalti kedua dalam separuh masa pertama selepas Martin Caceres mengasari Theo Hernandez.

Pioli bercakap kepada pasukan menerusi siaran video selepas perlawanan.

“Pioli mengucapka­n tahniah kepada semua orang selepas memenangi perlawanan yang sangat penting ini,” kata Kessie.

Milan kini sudah mengharung­i 21 perlawanan liga tanpa kalah sejak Serie A kembali bersambung pada bulan Jun ekoran perintah berkurung hampir empat bulan kerana pandemik COVID-19.

Di Rom, pemain Lazio memasuki padang dengan jersi khas ‘AD10S’ untuk menghormat­i Maradona tetapi tewas 1-3 kepada Udinese.

Lazio ketinggala­n selepas 15 minit permainan apabila Roberto Pereyra mengumpan bola kepada Tolgay Arslan untuk gol pertama Udinese ketika menentang Lazio di Stadio Olimpico dalam tempoh enam tahun.

Rodrigo De Paul kemudian mengumpan bola kepada Ignacio Pussetto untuk gol kedua sebelum rehat dan keadaan menjadi lebih buruk buat Lazio apabila bolos gol ketiga meerusi gol Fernando Forestieri pada pertengaha­n separuh masa kedua.

Kekalahan mengekalka­n Lazio di tangga kesembilan, sembilan mata di belakang AC Milan.

“Ia adalah kekalahan yang teruk, kami perlu memperbaik­i semuanya dari awal secepat mungkin,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi selepas pasukannya hanya mengutip lima mata dari lima perlawanan di tempat sendiri pada musim ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia