Utusan Borneo (Sarawak)

BANGUN POTENSI PELATIH

KWKPK sedia kerjasama dengan Jabatan Penjara tingkat kemahiran pelatih di Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo.

- Oleh Patricia Gari

KUCHING: Kementeria­n Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n KanakKanak (KWKPK) sedia berkolabor­atif dengan Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sarawak untuk membangunk­an potensi pelatih di Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Kuching.

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, KWKPK akan menawarkan perkhidmat­an pemulihan dan rehabilita­si kemahiran membaca, menulis serta mengira dalam kalangan pelatih di sekolah tersebut.

Menurutnya, kajian mendapati jumlah pelatih tidak pandai membaca agak ramai disebabkan mereka berhenti sekolah formal, selain ada yang mengalami masalah disleksia.

“Jadi, pertama kita akan menawarkan perkhidmat­an membuat penilaian ke atas pelatih yang belum menguasai kemahiran membaca, jikalau didapati disleksia. pemulihan intervensi akan diberikan supaya mereka boleh membaca.

“Kemahiran membaca sangat penting kerana semua perkara dilakukan melibatkan kebolehan ini. Mereka yang tidak boleh membaca akan mempunyai keyakinan diri rendah dan dari situ, timbul pelbagai masalah sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurn­akan Majlis Perasmian dan Pelancaran Produk Cantik@HG di Auditorium Sri Sarawak Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak di Jalan Puncak Borneo dekat sini, semalam.

Fatimah berkata, KWKPK juga akan membantu memberi nilai tambah kepada program kemahiran melibatkan pelatih Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Kuching khususnya Cantik@HG dengan menggunaka­n jaringan kerjasama yang ada pada kementeria­n itu.

Produk Cantik@HG merupakan projek kolaborati­f strategik antara Kolej Komuniti Kuching dan tiga institusi iaitu Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sarawak, Majlis Kraf Sarawak dan Helmi Batek Crafts untuk memberi pendedahan kepada pendidikan keusahawan­an dalam kalangan 20 pelatih di Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Kuching yang sedang menjalani program pemulihan.

Selain diberi pendedahan dengan ilmu keusahawan­an, para pelatih diajar menghasilk­an batik dalam motif seni Sarawak, batik canting, ‘t-shirt tie & dye’ dan batik cop, termasuk fail berbentuk sampul surat bermotifka­n corak Sarawak.

“Tahniah kepada Kolej Komunii Kuching, Majlis Kraf Sarawak dan Helmi Batek Crafts atas pelancaran produk-produk yang cantik dengan jenama unik iaitu Cantik@HG hari ini (semalam).

“Hanya dalam tempoh sebulan, pelbagai produk berjaya dihasilkan dan mutunya membanggak­an.

“Kolaborati­f strategik ini memberi manfaat kepada pelatih di sekolah ini. Ia amat bertepatan dan membuktika­n konsep pemulihan berjaya dilakukan di sini, selain pentingnya seseorang diberi peluang kedua untuk kehidupan seterusnya yang lebih baik,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Sarawak Mohamad Rosidek Musa, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sarawak Fathi Mursidi, Pengarah Kolej Komuniti Kuching Suharyati Sulaiman dan Pemangku Setiusaha Tetap KWKPK Caroline Cleophas Joseph.

 ??  ?? KAGUM: Fatimah melihat sendiri hasil produk Cantik@ HG yang dihasilkan pelatih Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Kuching semalam.
— Gambar Penerangan
KAGUM: Fatimah melihat sendiri hasil produk Cantik@ HG yang dihasilkan pelatih Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Kuching semalam. — Gambar Penerangan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia