Utusan Borneo (Sarawak)

10 pengundi Gombak saman Ahli Parlimen Azmin Ali

Atas dakwaan tipu, langgar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’

-

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen mereka Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabka­n kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari lalu.

Kesemua mereka, selaku plaintif, memfailkan saman itu melalui Tetuan Yohendra Nadarajan di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 November lalu dengan menamakan Mohamed Azmin, yang juga Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, selaku defendan tunggal.

Melalui semakan mahkamah, kes itu ditetapkan Jumaat ini di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif, berumur antara 36 hingga 64 tahun, memohon perisytiha­ran antaranya Mohamed Azmin adalah pemegang amanah dan mempunyai tanggungja­wab selaku Ahli Parlimen Gombak terhadap kawasan parlimenny­a termasuk 10 plaintif itu.

Mereka juga memohon perisytiha­ran bahawa Mohamed Azmin telah melanggar kewajipan fidusiari, menipu selain memungkiri representa­si yang dibuat terhadap kesemua plaintif dalam pilihan raya kawasan berkenaan.

Menurut kesemua plaintif, representa­si yang dibuat Mohamed Azmin itu adalah dengan menawarkan diri untuk bertanding pilihan raya 2018 untuk menyingkir­kan kerajaan pada ketika itu, iaitu Barisan Nasional (BN), dan pegawai awam yang korup.

Dakwa kesemua plaintif, Mohamed Azmin hanya mengetahui bahawa representa­si yang diberikann­ya itu adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatka­n undi serta tidak berusaha untuk memenuhi representa­si berkenaan.

Kesemua plaintif mendakwa mereka telah bergantung kepada representa­si tersebut dan mengundi defendan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Hak untuk mengundi yang dijaminkan di bawah Perkara 119 (1) Perlembaga­an Persekutua­n adalah hak perlembaga­an. Pengundi-pengundi termasuk kami telah melaksanak­an hak tersebut dengan merujuk kepada representa­si yang dikemukaka­n oleh calon semasa proses pilihan raya.

“Defendan terikat kepada representa­si yang dibuat olehnya dan manifesto PH yang digunakan untuk bertanding. Oleh itu, beliau tidak boleh bertukar sepenuhnya dengan menyertai kerajaan (sekarang) dengan ahli gabungan BN yang dikutuk sekeras-kerasnya ketika bertanding dahulu.

“Dengan memungkiri representa­si berkenaan, defendan telah melanggar hak perlembaga­an terutamany­a prinsip demokrasi berparlime­n dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian struktur asas perlembaga­an,” kata mereka menerusi penyataan tuntutan.

Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah melanggar kewajipan fidusiarin­ya dan tugas-tugas yang terhutang kepada plaintif selain melakukan penipuan terhadap mereka selain menuntut ganti rugi keterlalua­n dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. — Bernama

Dengan memungkiri representa­si berkenaan, defendan telah melanggar hak perlembaga­an terutamany­a prinsip demokrasi berparlime­n dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian

” struktur asas perlembaga­an.

Penyataan tuntutan plaintif

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia