Utusan Borneo (Sarawak)

Model penjagaan kesihatan perlu tekankan pencegahan

-

KUALA LUMPUR: Model penjagaan kesihatan negara perlu memberi penekanan terhadap usaha pencegahan bagi meningkatk­an daya tahan rakyat, lebih-lebih lagi ketika dunia diserang pandemik COVID-19.

Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pada 2018, hanya 6.2 peratus (RM3.7 bilion) daripada jumlah perbelanja­an kesihatan oleh semua pihak termasuk pihak kerajaan dan swasta diperuntuk­kan untuk rawatan pencegahan.

“Jumlah ini harus ditingkatk­an dan kajian sedia ada menunjukka­n bahawa perbelanja­an berbentuk pencegahan mampu memberi pulangan yang tinggi dalam jangka masa panjang.

“Dengan mencegah penyakit daripada berlaku, perbelanja­an merawat (curative) dapat dikurangka­n lalu meringanka­n beban ke atas sistem negara,” katanya dalam ucapannya sempena penerbitan laporan ‘Social Inequaliti­es and Health in Malaysia: The State of Households 2020 Part III’ (Ketidaksam­aan Sosial dan Kesihatan di Malaysia: Kedudukan Isi Rumah 2020 Bahagian III) yang dikeluarka­n KRI, semalam.

Laporan yang dilancarka­n secara maya semalam itu melihat faktor sosial yang mempengaru­hi hasil kesihatan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Mohamed Yakcop berkata penambahba­ikan kesihatan hanya boleh dicapai apabila setiap komponen kesejahter­aan rakyat dipertingk­atkan.

Katanya, sistem perlindung­an sosial yang menyeluruh harus berbentuk dinamik dengan mengambil kira keperluan di setiap fasa kehidupan dan sistem perlindung­an sosial negara mesti diperkukuh­kan.

Jelasnya, sistem perlindung­an sosial itu tidak terhad kepada simpanan hari tua atau insurans apabila ditimpa malang, namun memastikan taraf hidup wajar untuk setiap rakyat di setiap fasa kehidupan, iaitu daripada terbentukn­ya janin dalam kandungan sehingga harihari terakhir hayat.

“Usaha ini haruslah bermula ketika titik permulaan hidup dengan memberi akses kepada penjagaan kesihatan kepada ibu hamil dan janin dalam kandungan. Persekitar­an kondusif yang menyokong pertumbuha­n fizikal dan mental pula harus disediakan kepada setiap kanak-kanak dan remaja ketika berada di zaman persekolah­an,” katanya.

Selain itu, tegasnya, di alam pekerjaan pula, setiap warga kerja harus dilindungi skim perlindung­an keselamata­n sosial nasional bagi membantu mereka apabila berdepan bencana luar jangka seperti kemalangan semasa bekerja, kematian serta diberhenti­kan kerja.

Tambahnya, sistem pencen dan keselamata­n sosial untuk menghadapi usia persaraan perlu dimantapka­n agar warga tua Malaysia dapat hidup dengan maruah dan harga diri serta selesa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia