Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita mengandung perlu dapatkan nasihat doktor untuk terima suntikan vaksin COVID-19

-

PUTRAJAYA: Wanita mengandung boleh menerima suntikan vaksin COVID-19 namun perlu mendapatka­n nasihat doktor serta pakar masing-masing bagi mengetahui risiko daripada proses vaksinasi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Pemberian vaksin COVID-19 boleh dipertimba­ngkan secara ‘kes mengikut kes’ bagi mereka yang mengandung setelah berbincang dengan doktor mereka. Doktor perlu berbincang dan mempertimb­angkan antara risiko dan faedah vaksinasi,” katanya.

Dr Adham berkata pemberian vaksin COVID-19 boleh dipertimba­ngkan sekiranya faedah daripada vaksinasi melebihi apa-apa risiko kepada penerima vaksin dan janin di dalam kandungan.

“Vaksinasi COVID-19 semasa mengandung juga boleh dipertimba­ngkan jika risiko pendedahan kepada virus COVID-19 adalah tinggi dan sukar dielakkan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di sini, semalam.

Mengenai pemberian vaksin COVID-19 kepada ibu menyusu, Dr Adham berkata tiada data yang menunjukka­n sekiranya vaksin disuntik kepada ibu menyusu, ia akan memberi kesan kepada susu ibu.

“Oleh itu, sekiranya tiada kontra indikasi pemberian vaksin kepada ibu yang sedang menyusukan bayi, vaksin COVID-19 boleh diberikan kepada mereka,” katanya, sambil menambah Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakk­an amalan penyusuan susu ibu untuk kanak-kanak.

Dr Adham berkata golongan imuniti rendah boleh dipertimba­ngkan untuk mendapatka­n vaksin COVID-19 sekiranya tiada kontra indikasi terhadap vaksin.

“Namun, mereka perlu diberi kaunseling bahawa ketiadaan maklumat terperinci berkaitan keselamata­n dan efikasi vaksin sekiranya digunakan ke atas mereka.

Mereka berkemungk­inan akan tidak dapat membentuk imuniti yang mencukupi untuk mencegah COVID-19 berbanding mereka yang sihat setelah vaksinasi,” katanya.

Dr Adham berkata rakyat Malaysia disarankan terus mengamalka­n norma baharu walaupun setelah menerima suntikan vaksin. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SIDANG MEDIA: Adham ketika sidang media di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) semalam.
— Gambar Bernama SIDANG MEDIA: Adham ketika sidang media di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia