Utusan Borneo (Sarawak)

‘Pinkfong’ sambut kehadiran murid hari pertama persekolah­an

- — Bernama

JOHOR BAHRU: Hari pertama sesi persekolah­an murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua, di Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Sultan Ibrahim, di sini, disambut meriah dengan kehadiran maskot ‘Pinkfong’.

Rata-rata murid sangat teruja melihat maskot berkenaan yang menyambut ketibaan mereka sebaik menjejakka­n kaki di pintu utama sekolah, malah ada ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk mengambil gambar anak mereka bersama maskot musang itu.

Selain mengambil insiatif menyediaka­n maskot, pihak sekolah itu juga dilihat menghadiah­kan buah epal kepada muridmurid yang awal tiba ke sekolah.

Ibu kepada seorang murid tahun satu, M. Nithiyah, 32, berkata dia menyambut baik usaha pihak sekolah meraikan murid-murid yang dilihat dapat menarik perhatian, sekali gus memeriahka­n lagi suasana hari pertama persekolah­an.

“Anak perempuan saya P. Thivyasree juga nampak sangat gembira dan teruja ke sekolah hari ini... persiapan juga telah dibuat awal dan anak saya memang sudah bersedia.

“Dari segi keselamata­n, saya tidak risau kerana guru sudah pesan banyak kali supaya jangan lupa bawa cecair sanitasi tangan serta penutup hidung dan mulut untuk anak-anak ke sekolah,” kata peguam itu kepada pemberita ketika ditemui di sekolah berkenaan, di sini, semalam.

Bagi Dr Mohammed Izuan Zabid, 43, pula berkata meskipun gusar tentang keselamata­n anakanak berikutan pandemik COVID-19, guru dilihat memainkan peranan dengan baik bagi memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Sudah pasti memang kita risau... tetapi lihat pagi ini (semalam) guru pun sudah buat persediaan dengan sambut murid dan ambil suhu badan. Jadi kita harap semua baik-baik sahaja,” kata bapa kepada dua pelajar tahun satu iaitu Nur Sarah dan Nur Suraya yang merupakan pasangan kembar.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Negeri Johor, Datuk Yahya Jaafar ketika ditemui pula berkata, pihak sekolah berkenaan telah membuat persediaan melakukan kerja-kerja sanitasi di seluruh kawasan.

“Selepas kerajaan mengumumka­n pembukaan sekolah bagi prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sekolah telah bersedia dengan melakukan gotongroyo­ng, sanitasi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan Bernama mendapati, selain menggunaka­n maskot, sekolah berkenaan turut mengambil inisiatif menyediaka­n pandu lalu bagi memudahkan ibu bapa menurunkan anakanak mereka di sekolah, sekali gus mengurangk­an kesesakan jalan raya.

Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah seawal 6.45 pagi dan guru-guru juga dilihat menunggu ketibaan murid di hadapan pintu masuk sekolah bagi mengawal penjarakan fizikal, mengambil suhu badan, selain memastikan murid memasuki kelas yang betul.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia