Utusan Borneo (Sarawak)

WARGA EMAS HILANG DITEMUI SELAMAT

-

Seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan lemah pagi semalam sebaik dilaporkan hilang selepas menghantar penumpang menggunaka­n perahu tambangnya di kawasan hulu Sungai Limbang, malam kelmarin.

Mangsa, Tamin Kalling, 63, dari Kampung Seberang Kedai ditemui selamat di kawasan darat kira-kira satu kilometer dari perahu tambangnya yang dijumpai tersadai di tebing sungai sekitar jam 10.15 pagi.

Ketua Zon Tujuh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, mangsa dipercayai keluar menggunaka­n perahunya untuk menghantar penumpang ke satu lokasi tidak diketahui pada jam 10 malam kelmarin, namun tidak pulang ke rumah sehingga semalam.

Jelasnya, bimbang dengan keadaan itu keluarga mangsa dibantu penduduk kampung berusaha mencari mangsa di laut dan hulu Sungai Limbang menggunaka­n perahu sekitar jam 6 pagi semalam.

“Sekitar jam 9.20 pagi penduduk Kampung Merambut menjumpai perahu mangsa tersadai di tepi sungai tetapi mangsa tidak kelihatan lalu memaklumka­n kepada keluarga mangsa.

“Keluarga mangsa dan penduduk kampung kemudianny­a bergegas ke lokasi perahu mangsa dijumpai dan terus membuat pencarian di sungai dan di darat sebelum mangsa dijumpai dalam keadaan lemah pada jam 10.15 pagi, kira-kira satu kilometer dari kedudukan perahunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohd Hazmin menjelaska­n, keluarga mangsa dan penduduk kampung menghantar­nya pulang ke rumah dengan menaiki bot.

Kata beliau lagi, pasukan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Mohd Ali Mohd Salleh bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat pada jam 9.36 pagi.

Setelah keadaan stabil dan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai jam 11.55 pagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia