Utusan Borneo (Sarawak)

Manyin yakin GPS akan menang di semua kerusi Bidayuh pada PRN12

-

LUNDU: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Michael Manyin Jawong yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menang di semua lapan kerusi Bidayuh pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan cek geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi kawasan N.1 Opar di Dewan Kampung Bitokan 1 di sini semalam, Manyin berkata masyarakat Bidayuh tiada pilihan lebih baik selain mengundi GPS.

“Kita kaum Bidayuh adalah minoriti iaitu hanya lapan peratus daripada keseluruha­n populasi di negeri ini.

“Jika kita semua kawasan Bidayuh dari Opar, Tasik Biru, Serembu, Tarat, Kedup, Mambong, Bukit Semuja dan Tebedu tidak menyokong GPS dan menjadi pembangkan­g, GPS tetap akan menang dan membentuk kerajaan.

“Jadi siapa yang akan rugi, masih lagi Bidayuh. Sebagai minoriti kita tidak ada pilihan dan mesti berada dalam kerajaan,” katanya.

Tambah Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tedebu, mengambil contoh kawasan Opar yang di bawah pembangkan­g, sukar untuk pembanguna­n disalurkan.

Justeru katanya, pada PRN yang akan datang, pengundi mesti mengundi calon GPS. Jangan silap dan jangan memilih berdasarka­n muka calon tetapi pada logo GPS.

“Bijak bagaimanap­un seseorang itu, ia tidak mudah jika bukan GPS. Jadi pada PRN nanti jangan tengok muka calon tetapi lambang GPS.

“Jika Opar kalah lagi, kawasan ini akan bersendiri­an kerana saya yakin GPS akan tubuhkan semula kerajaan dengan adanya sokongan penuh daripada Melayu, Melanau dan sekurangku­rang 80 peratus dari kawasan Dayak,” katanya.

Terdahulu Manyin yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi menyampaik­an 97 keping cek geran MRP bernilai RM1.2 juta kepada wakil penerima bagi kawasan Opar.

Geran tersebut adalah daripada kerajaan negeri yang diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi tujuan pembanguna­n di kawasan Opar.

Hadir sama, ADUN Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep dan ADUN Serembu Miro Simuh, Pegawai Daera Lundu Gustian Durani serta yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia