Utusan Borneo (Sarawak)

Semua rakyat diseru segera mendaftar bagi suntikan vaksin COVID-19

-

LUNDU: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong menyeru semua rakyat untuk segera mendaftar bagi suntikan vaksin COVID19.

Katanya penularan COVID-19 tidak akan berakhir tanpa pemvaksina­n dan kini negara termasuk di Sarawak ini sudah menerima bekalan vaksin COVID-19.

Tetapi katanya, ramai yang masih ragu dengan vaksin ini di mana mengikut data, vaksin ini selamat dan ada dua vaksin iaitu Pfizer Bio-Tech dan Sinovac digunakan di Malaysia.

“Penduduk Sarawak ada 2.8 juta dan untuk capai tahap imuniti kesihatan, kira-kira 80 peratus daripada populasi kita iaitu 2.2 juta mesti mendapatka­n vaksin.

“Maknanya semua individu 18 tahun dan ke atas mesti divaksin untuk mencapai tahap imuniti ini. “Kalau kurang daripada 80 peratus, vaksin tidak akan berkesan dan virus akan tetap merebak malah boleh menjadi lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penyerahan cek geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM1.2 juta bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep dan ADUN Serembu Miro Simuh, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani serta yang lain.

Sehubungan itu Manyin menyeru semua rakyat mendaftar dan berharap rakyat akan divaksin sebelum perayaan Gawai Dayak akan datang.

Vaksin katanya, adalah percuma dan di seluruh negara kerajaan telah membelanja­kan jutaan ringgit untuk vaksin.

Manyin turut mengingatk­an pemimpin masyarakat agar memainkan peranan memastikan penduduk di kawasan masing-masing bersedia menerima suntikan vaksin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia