Utusan Borneo (Sarawak)

Pertimbang semula SOP pakai sarung tangan di premis pakaian: PEKA

-

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menyeru agar kerajaan mempertimb­angkan semula prosedur operasi standard (SOP) pemakaian sarung tangan pakai buang sebelum memasuki kedai pakaian yang bermula 10 Februari lepas.

Presidenny­a, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata SOP tersebut dikhuatiri akan menambahka­n lambakan sisa pepejal plastik yang sukar terurai di tapak pelupusan sampah sekali gus memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

“Kita terlampau sangat nak mengelak daripada COVID19 tapi secara tidak langsung kita guna benda yang merosakkan alam,” katanya kepada Bernama.

Dalam usaha memerangi pandemik, Shariffa Sabrina berharap kerajaan dan masyarakat tidak mengabaika­n kesan jangka panjang kepada alam sekitar terutamany­a dalam aspek kesihatan dengan menggunaka­n barangan daripada bahan mudah urai.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpendapa­t tiada keperluan pemakaian sarung tangan pakai buang untuk tujuan memilh pakaian bagi mengelak jangkitan menerusi sentuhan.

“Berdasarka­n nasihat oleh CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat), bagi orang awam, memakai sarung tangan tidak perlu dalam kebanyakan situasi seperti membeli-belah. CDC menyaranka­n pemakaian sarung tangan apabila anda membersihk­an atau merawat orang sakit.

“(SOP ini) tak banyak membantu (mengurangk­an potensi penularan virus), malah boleh buat orang leka atau ambil mudah akan amalan membasuh tangan dan sanitasi,” katanya.

Zainal Ariffin berkata sebaliknya, penggunaan cecair pembasmi kuman untuk membersihk­an tangan sebelum memasuki premis adalah lebih relevan dan berkesan untuk tujuan itu.

Pada 9 Februari lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumka­n kebenaran sektor peruncitan, meliputi pakaian, fesyen, aksesori dan kedai kasut untuk dibuka semula dengan mengingatk­an pengusaha pakaian memberi pelanggan sarung tangan pakai buang ketika memasuki premis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia