Utusan Borneo (Sarawak)

31 warga PDRM disyaki terlibat Macau Scam, judi dalam talian ditukar

-

KUALA LUMPUR: Kesemua 31 warga Polis Diraja Malaysia yang disyaki terlibat dalam Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian masih lagi bertugas namun telah ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu keputusan hukuman terhadap mereka.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata terdapat antara mereka yang ditukarkan daripada jawatan masing-masing untuk mengelakka­n mereka daripada terlibat semula dengan kegiatan berkenaan.

“Seperti OCPD (Ketua Polis Daerah) misalnya telah ditukarkan, ada yang ke KDN (Kementeria­n Dalam Negeri) dan ada yang ke tempat atau jabatan lain. Itu merupakan langkah sementara untuk kami mudah melakukan siasatan (terhadap mereka),” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata siasatan berhubung kes berkenaan telah selesai dan bagi tindakan dan hukuman sebenar terhadap mereka terbabit kelak akan diputuskan oleh Suruhanjay­a Pasukan Polis (SPP) yang akan bersidang bagi meneliti bukti-bukti yang ada untuk dijatuhkan hukuman.

Zamri berkata peranan JIPS hanya melakukan siasatan dan bukannya menjatuh hukuman terhadap pegawai dan anggota polis yang didapati bersalah.

“JIPS hanya menyiasat dan apabila habis siasatan, maka kami akan rujuk ke Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sebelum dihantar ke SPP untuk bersidang bagi menentukan keputusan hukuman.

“Antara tindakan atau hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka ialah buang kerja dan turun pangkat dan setakat ini, tiada lagi pegawai atau anggota yang disyaki terlibat selain 31 orang ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober 2020 selepas didapati menjalanka­n kegiatan jenayah yang menyasarka­n mangsa di China selain bekerjasam­a dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis berkenaan sindiket terbabit. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia