Utusan Borneo (Sarawak)

P. Pinang minta benarkan hospital swasta beli dan tawarkan suntikan vaksin COVID-19

-

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri Pulau Pinang memohon kepada kerajaan pusat untuk membenarka­n hospital swasta di negeri itu membeli vaksin COVID-19 dan menawarkan suntikan agar mereka yang berkemampu­an boleh mendapatka­n vaksin dengan lebih cepat.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembanguna­n Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin berkata perkara itu telah dimaklumka­n kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menerusi Mesyuarat Libat Urus Vaksin, kelmarin.

“Semalam (kelmarin) telah diadakan mesyuarat itu, saya (bagi pihak kerajaan negeri) telah meminta kepada Khairy untuk membenarka­n hospital swasta di sini membeli vaksin supaya mereka yang berkemampu­an terutama golongan VIP dapat menerima suntikan lebih cepat dengan membayar (kepada hospital swasta).

“Mereka (VIP) mampu membayarny­a dan lebih baik kita benarkan mendapat suntikan vaksin di hospital swasta berbanding menunggu yang percuma mengikut fasa ditetapkan.

“Menteri (Khairy) dilihat bersetuju namun menetapkan hospital swasta perlu mendapatka­n kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) bagi setiap vaksin yang mahu dibeli,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Seberang Jaya, di sini semalam.

Beliau berkata lebih 1,000 daripada jumlah keseluruha­n 33,227 petugas barisan hadapan di Pulau Pinang telah menerima suntikan vaksin sejak Ahad lepas.

Menurut beliau, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu juga memohon untuk menyalurka­n vaksin COVID-19 kepada pihak tertentu terutama warga emas agar mereka lebih cepat menerima suntikan vaksin.

Norlela berkata, sebagai negeri hub perubatan dan ramai berkemampu­an mahu mendapatka­n suntikan di hospital swasta di sini, maka pihaknya berharap kebenaran tersebut dapat diberikan dalam masa terdekat.

“Selain itu, di Pulau Pinang tidak timbul isu potong barisan untuk mendapatka­n suntikan vaksin sebaliknya ia mengikut senarai nama yang telah didaftarka­n dalam MySejahter­a, memang kita tidak terima sebarang aduan berhubung perkara tersebut,” katanya.

Sementara itu, Norlela berkata kerajaan negeri juga memaklumka­n supaya lebih 200,000 nama warga emas dalam senarai I-Sejahtera terus dimasukkan ke dalam MySejahter­a bagi menerima suntikan vaksin.

“Semua warga emas ini tidak perlu mendaftar untuk mendapatka­n suntikan vaksin sebaliknya nama mereka terus berada dalam senarai penerima vaksin seperti petugas barisan hadapan. Saya juga minta warga emas terutama yang tinggal di pondok dan rumah orang tua menjadi antara penerima awal,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia