Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: 210 KES PULIH, 139 KES BAHARU SEMALAM

-

KUCHING: Kes pulih dan dibenarkan discaj dari hospital di Sarawak semalam mengatasi angka kes positif COVID-19 dengan 210 kes pulih dilaporkan, manakala kes baharu berjumlah 139.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga berkata, semalam satu kematian baharu melibatkan jangkitan COVID19 direkodkan menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 84 orang.

Beliau berkata, kes kematian baharu itu merupakan kes ke-8,360 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 85 tahun yang telah mendapat rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami sesak nafas.

Ujian saringan bagi rT-PCR COVID19 ke atas kes katanya, adalah positif pada 23 Februari dan mengalami gejala seperti kehilangan deria bau, kurang selera makan dan batuk beberapa hari sebelum mendapatka­n rawatan di hospital.

Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 1 Mac 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit buah pinggang kronik, darah tinggi, kencing manis dan gout, tambahnya.

“Daripada jumlah 139 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini (semalam) pula, Sibu merekodkan jumlah tertinggi dengan 39 kes, diikuti Kuching (29), Bintulu (17), Betong (13), Kapit (6), Bau (6), Selangau (5), Pusa (4), Serian (4), Spaoh (2) dan satu masing-masing di Julau, Sarikei, Asajaya dan Song.

“Ini menjadikan jumlah keseluruha­n kes positif COVID-19 di Sarawak setakat ini meningkat kepada 10,063,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengulas mengenai kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankua­da Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada 201 kes, 81 dari Hospital Sibu diikuti PKRC di bawah Hospital Kapit (52), Hospital Umum Sarawak (29), Hospital Bintulu (24), Hospital Sarikei (16) dan Hospital Miri (8).

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruha­n kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 7,701 orang atau 76.53% daripada jumlah keseluruha­n kes COVID-19 di Sarawak.

“Jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital mengikut hospital rujukan adalah seramai 2,242.

“Hari ini (semalam), 144 PUI baharu telah dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

 ??  ?? SIDANG MEDIA: Uggah (dua kanan) tiba di bangunan DUN lama untuk mengadakan sidang media semalam.
SIDANG MEDIA: Uggah (dua kanan) tiba di bangunan DUN lama untuk mengadakan sidang media semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia