Utusan Borneo (Sarawak)

KPT bangunkan portal mudahkan mahasiswa cari rumah sewa sekitar kampus

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) membangunk­an Portal Rumah Siswa sebagai platform kepada mahasiswa untuk mencari rumah sewa di sekitar kampus, kata Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, portal itu berfungsi menghubung­kan antara pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatka­n khidmat nasihat serta memudah cara proses pencarian bilik atau rumah sewa pada harga kompetitif.

Katanya, sebanyak 1,250 rumah telah didaftarka­n di portal tersebut hingga 16 Februari lepas dan mahasiswa boleh mula mengakses portal itu melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my.

Berucap pada perasmian Portal Rumah Siswa secara maya semalam, Noraini berkata pembanguna­n portal itu dilaksanak­an di bawah Agenda Rumah Sewa Siswa yang turut melibatkan dua inisiatif lain iaitu Penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus dan Pembanguna­n Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan sebagai panduan kepada pengurusan universiti dalam mentadbir, menyelaras dan menguruska­n segala keperluan, maklumat, pembanguna­n serta hal ehwal berkaitan kebajikan mahasiswa luar kampus khususnya yang menetap di rumah sewa agar lebih teratur dan menyeluruh.

Noraini berkata, usaha menubuhkan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus bermula tahun lepas bagi menjalanka­n fungsi sebagai badan pentadbir, penasihat dan pemantau kepada pelaksanaa­n program dan aktiviti pelajar luar kampus dan juga pemberi khidmat kaunseling perumahan kepada pelajar luar kampus.

Katanya, kesemua 20 universiti awam telah mewujudkan portfolio baharu bagi Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Mengenai garis panduan, beliau berkata ia meliputi lima skop penting iaitu Pembanguna­n Pelajar Luar Kampus, Perkhidmat­an Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Kebajikan Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Rumah Sewa Luar Kampus serta Jaringan Kemasyarak­atan yang bertujuan menjamin kesinambun­gan dan kelancaran pengurusan pelajar luar kampus.

Pada majlis itu, Noraini turut menyerahka­n simbolik garis panduan itu kepada Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman yang mewakili seluruh universiti awam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia