Utusan Borneo (Sarawak)

Lari selepas bot tenggelam, Maritim Malaysia kesan kumpulan nelayan Vietnam

-

KUDAT: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini giat mengesan sekumpulan nelayan asing dipercayai warga Vietnam yang melarikan diri selepas bot mereka karam di perairan Pulau Banggi di sini.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata kejadian dikesan apabila dua bot nelayan ditemukan terkandas di sekitar dua batu nautika tenggara Pulau Sibogor Laut kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua bot itu sudah tenggelam bagaimanap­un tiada mangsa dikesan.

“Pemeriksaa­n lanjut terhadap fizikal bot mendapati kedua-dua bot terbabit dipercayai bot nelayan asing Vietnam berdasarka­n kepada bentuk, warna, serta nombor pendaftara­n yang dimiliki,” katanya sambil menambah tiada bukti atau sebarang petunjuk fizikal berkaitan kedudukan kru di sekitar lokasi kejadian.

Menurutnya penduduk kampung berdekatan mendakwa kedua-dua bot terbabit terkandas pada malam sebelumnya bagaimanap­un tiada sebarang penemuan atau pendaratan warga asing Vietnam dilaporkan di pulau berdekatan.

“Kemungkina­n besar tekong serta kru bot berkenaan dipercayai diselamatk­an oleh bot nelayan asing lain yang berada dekat dengan lokasi kejadian dan kini mereka sedang melarikan diri bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa serta dikenakan tindakan undang-undang.

“Kedua-dua bot nelayan asing itu dipercayai terkandas serta melanggar batu karang yang mengakibat­kan kebocoran pada struktur badan bot.

“Faktor air laut yang semakin pasang serta kadar kemasukan air yang laju memenuhi bot membuatkan­nya tenggelam,” katanya.

Beliau bagaimanap­un berkata pihaknya masih menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Bertindak dengan kejadian ini, kita mengarahka­n aset Maritim Malaysia yang berdekatan agar meningkatk­an pengawasan serta rondaan bagi menjejak dan mengesan nelayan asing yang melarikan diri ini.

“Pemeriksaa­n teliti akan dijalankan terhadap bot-bot yang kelihatan mencurigak­an dan kita akan melaksanak­an tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.

Boon berkata Pusat Operasi Maritim Kudat telah menghubung­i pihak TamanTaman Sabah berikutan lokasi kejadian adalah berada di dalam kawasan yang diwartakan sebagai Taman Laut Tun Mustapha.

Tambahnya pihaknya turut menyampaik­an maklumat kepada Jabatan Alam Sekitar agar kerja-kerja pengepunga­n serta pembersiha­n akibat daripada tumpahan minyak dapat dilaksanak­an.

Sementara itu beliau berkata pemantauan serta analisis data daripada tangkapan sebelum ini mendapati bot nelayan asing terutamany­a dari Vietnam yang menceroboh perairan Kudat kebiasaann­ya bergerak secara berkumpula­n.

“Mereka akan menjarah hasil laut negara secara haram pada waktu malam dan akan keluar dari sempadan negara sebelum matahari terbit bagi mengelakka­n aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

“Mereka juga menumpukan kepada kepelbagai­an jenis hasil laut seperti ikan bernilai tinggi, udang kara dan gamat. Persekitar­an laut yang gelap turut menyumbang kepada kegiatan haram mereka.

“Kawasan kurang berpenghun­i serta kedudukan yang berdekatan dengan garis sempadan membuatkan mereka mudah untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa,” katanya.

Oleh itu katanya Zon Maritim Kudat akan terus komited dalam melaksanak­an tugas dan tanggungja­wab demi memastikan tiada penceroboh­an oleh bot nelayan asing atau sebarang kegiatan jenayah di perairan negara.

Pihaknya juga meminta agar penduduk di kawasan pulau atau pesisir pantai untuk menyalurka­n sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan terus ke Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 atau melalui talian kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

 ??  ?? KARAM: Keadaan dua bot nelayan Vietnam yang karam dipercayai terkandas melanggar batu karang semasa menceroboh perairan negara.
KARAM: Keadaan dua bot nelayan Vietnam yang karam dipercayai terkandas melanggar batu karang semasa menceroboh perairan negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia