Utusan Borneo (Sarawak)

Pusat Khidmat Rakyat P186 Parlimen Sandakan bantu hantar 40 pelajar UMS ke Kota Kinabalu

- Oleh Noorasvill­a Muhamma

SANDAKAN: Pusat Khidmat Rakyat P186 Parlimen Sandakan telah membantu menghantar seramai 40 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari keluarga B40 di sini ke Kota Kinabalu dengan menyediaka­n dua buah bas ekspres sewa khas.

Bas itu membawa kumpulan pelajar dari Sandakan ke Kota Kinabalu untuk membolehka­n mereka memulakan semula semester baharu di kampus utama UMS.

Sebelum itu, salah seorang pelajar dikenali Azlan telah datang ke Pusat Khidmat P186 pada minggu lepas untuk memohon bantuan dalam bentuk elaun pengangkut­an.

Ia berikutan semua bas ekspres bagi perjalanan jauh di negeri ini masih tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanak­an pada Januari tahun ini.

Susulan itu, pelajar terlibat perlu menyewa khas dua buah bas untuk membolehka­n mereka pergi ke Kota Kinabalu bagi menghadiri sesi pengajian yang baharu.

Selain itu, berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa, kesemua bas juga hanya boleh beroperasi pada kapasiti 50 peratus daripada jumlah penumpang yang ada.

Keadaan itu sekaligus menyebabka­n kos berganda untuk tiket bas bagi seorang penumpang iaitu daripada RM40 kepada RM80. Ini turut menyebabka­n beban tambahan kepada pelajar tempatan dan juga keluarga mereka.

“Ini adalah satu tragedi yang jelas jika pelajar kita tidak dapat menghadiri sesi pengajian berikutan mereka tidak mampu menampung kenaikan harga tambang bas.

“Pendidikan adalah salah satu keutamaan kita dan kita mesti melakukan apa yang mampu bagi memastikan generasi muda tidak terkesan teruk susulan kekurangan peluang pendidikan akibat pandemik COVID-19.

“Ia sering membuatkan saya sedih apabila saya melihat ada kes pelajar kita yang terpaksa berputus asa untuk belajar dan memutuskan untuk bekerja selepas sekolah menengah kerana keluarga mereka tidak mampu menghantar untuk melanjutka­n pelajaran ke peringkat seterusnya.

“Justeru, dengan kadar segera, saya menyeru kepada kerajaan untuk menyediaka­n lebih banyak skim bantuan untuk pelajar kita, khasnya dari keluarga kumpulan B40 untuk mengelak mereka daripada berhenti sekolah.

“Untuk jangka masa panjang, saya telah berulang kali membahaska­n di Parlimen bahawa kerajaan perlu memperkena­lkan lebih banyak kursus pengajian di UMS Sandakan seperti Sains Marin, Agroperhut­anan serta Sains dan Teknologi Alam Sekitar agar lebih ramai pelajar tempatan boleh melanjutka­n pendidikan peringkat universiti mereka di Sandakan selain daripada perlu keluar ke kawasan lain seperti Kota Kinabalu, Kuching, Johor Baharu dan Kuala Lumpur, untuk tujuan yang sama.

“Ini sudah pasti akan membantu mengurangk­an beban pelajar tempatan kita dan keluarga mereka dalam usaha mencapai kecemerlan­gan dalam pendidikan,” kata Vivian.

 ??  ?? AGIH: Vivian mengagihka­n pelitup muka dan kalendar kepada pelajar UMS sebelum mereka berlepas ke Kota Kinabalu.
AGIH: Vivian mengagihka­n pelitup muka dan kalendar kepada pelajar UMS sebelum mereka berlepas ke Kota Kinabalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia