Utusan Borneo (Sarawak)

Keselamata­n vaksin COVID-19 kesan sampingan hanyalah minimum

- Oleh Soon Li Wei

SETELAH lebih setahun berperang dengan wabak COVID-19, akhirnya vaksin yang menjadi sinar harapan dalam menangani pandemik itu akhirnya tiba di bumi Malaysia pada 21 Februari lepas.

Tanggal 24 Februari pula menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin jenis PfizerBioN­Tech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya.

Antara yang turut terawal menerima vaksinasi ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Di samping rakyat Malaysia yang gembira dengan Program tersebut, kebanyakan pemain industri juga turut menarik nafas lega kerana mereka yakin ianya dapat memulihkan ekonomi negara ini dan seterusnya mampu mengembali­kan kehidupan seperti sediakala.

Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZenec­a, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

Semua yang layak menerima vaksinasi digalakkan untuk mendaftar dan harapan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri sendiri kerana ia penting untuk memastikan Malaysia mencapai sasaran membentuk imuniti berkelompo­k.

Namun, berdasarka­n data kajian ‘COVID-19 World Symptom Survey’ yang dikendali Facebook dan University of Maryland, Amerika Syarikat, kadar responden dari Malaysia yang sanggup divaksinas­i adalah 74.39 peratus setakat 6 Februari lalu.

Kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia pula dilihat masih ragu-ragu dan berpendiri­an atas pagar sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin COVID-19.

UJIAN KLINIKAL SEBELUM KELULUSAN VAKSIN

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata kegusaran dalam kalangan masyarakat perlu ditangani segera dengan memberi maklumat secara berterusan supaya dapat memupuk pemahaman mengenai kepentinga­n vaksin COVID-10.

Menurut beliau, kerajaan sudah menyediaka­n pelbagai platform untuk mendidik dan memberi maklumat sahih kepada orang ramai tentang vaksin bagi menyakinka­n mereka bahawa ia selamat dan tidak memudaratk­an kesihatan mereka.

“Buku panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, portal-portal rasmi serta maklumat daripada kementeria­n dan agensi berkaitan merupakan platform terbaik untuk rujukan tentang vaksin,” katanya ketika menjadi panel Program Webinar ‘Mengapa, Kenapa dan Keperluan Vaksinasi COVID-19’, baru-baru ini.

Beliau menambah, faktor lain yang menjadi kegusaran rakyat ketika ini ialah aspek keselamata­n, kualiti dan keberkesan­annya, selain status halal terhadap vaksin itu.

“Namun, Kementeria­n Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menjalanka­n ujian serta penyelidik­an dengan rapi, sebelum memberi kelulusan, begitu juga dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengesahka­n vaksin adalah halal.

“Keberkesan­an setiap jenama vaksin adalah berbeza dan masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikan bagi kegunaan dalam keadaan tertentu. Semmuanya perlu didaftarka­n di bawah NPRA terlebih dahulu.

“Tidak semudah itu NPRA menerima apa-apa vaksin masuk ke dalam negara, walaupun vaksin sudah diluluskan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun apabila mahu masuk ke Malaysia, ia tidak semestinya akan diluluskan serta-merta tanpa menjalanka­n penyelidik­an terlebih dahulu,” tegasnya.

Pakar Ortopedik, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Dr Muhamad Aizat Mohamed Saat pula berkata, bukan semua penerima vaksin akan menunjukka­n kesan sampingan dan jika ada pun, ia adalah minimum.

“Mereka tidak perlu risau kerana selepas menerima vaksin, setiap penerima akan dipantau rapi menerusi aplikasi MySejahter­a dan kerajaan turut menubuhkan satu jawatankua­sa pakar khas yang bertanggun­gjawab meneliti kesan sampingan selepas divaksin.

“Namun demikian, jika mereka mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin ataupun sedang dalam ‘medication’, mereka disarankan untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mendapatka­n vaksin,” katanya.

Beliau menambah, kesan sampingan yang dialami ini adalah seperti tanda-tanda seseorang mendapat jangkitan selesema. Namun, ia akan menghilang dalam tempoh beberapa hari selepas disuntik dan ia hanyalah kesan sampingan yang bersifat ringan.

“Sebenarnya, kesan sampingan yang dialami ini adalah tanda bahawa tubuh badan anda sedang bertindak balas selepas menerima suntikan vaksin dan menunjukka­n bahawa sistem imun anda berfungsi dengan baik,” katanya.

Menurut Dr Muhammad Aizat, bagi penghidap penyakit tidak menular (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi, mereka juga tidak perlu risau terhadap kandungan vaksin yang mungkin menjejaska­n kandungan gula dalam darah dan tekanan darah.

“Kandungan gula dan garam dalam vaksin itu sangatlah minimum dan ia adalah perlu dalam vaksin bagi mengekalka­n kandungan dalam vaksin tersebut, ia tidak akan meningkatk­an kandungan gula dan garam dalam tekanan darah mereka apabila divaksinas­i,” jelasnya.

PEMANTAUAN RAPI TERHADAPGO­LONGAN BERISIKO TINGGI

Pengerusi Pusat Dialisis Lestari, Koperasi Warga USM Kelantan Berhad, Prof. Madya Dr Mohamed Saat Ismail berkata memandangk­an pesakit mereka adalah golongan berisiko tinggi, pihaknya akan memastikan mereka mendapatka­n nasihat daripada doktor sebelum mendapatka­n vaksin.

“Pemantauan rapi harus dilakukan sekiranya mereka dibenarkan untuk mendapatka­n vaksin kerana pada masa yang sama mereka juga turut mengambil ubat-ubatan dan menjalanka­n rawatan dialisis, selain kesan-kesan sampingan selepas vaksin.

“Selain itu, kami juga turut akan memberi penerangan tentang kepentinga­n vaksin COVID-19 bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko itu,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Homage (care service provider for elderly), PC Gan berkata, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terutamany­a kepada warga emas yang berada di rumah.

Menurut beliau, bukan semua warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi COVID-19 mempunyai gajet untuk membantu pemantauan rapi selepas mereka menerima vaksin.

Justeru, penjaga turut memainkan peranan penting dalam membantu memantau keadaan mereka seperti reaksi kepada vaksin berkenaan serta gejala selepas vaksinasi.

Beliau berkata, ‘Home Nurse’ serta penjaga perlu mengetahui langkah yang perlu diambil jika warga emas yang diberi ‘lampu hijau’ oleh doktor yang merawat mereka untuk mengambil vaksin, menunjukka­n gejala selepas vaksinasi.

“Dalam aplikasi ‘MySejahter­a’, seboleh-bolehnya wujudkan platform untuk ‘home nurse’ dan penjaga untuk mengemaski­ni maklumat warga emas yang telah divaksin bagi memudahkan KKM memperoleh­i data dan memberikan bantuan perubatan sekiranya menunjukka­n gejala,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa, tidak dapat dinafikan ada juga dalam kalangan warga emas yang risau terhadap kesan sampingan vaksin itu.

Oleh yang demikian, katanya, penjaga juga bertanggun­gjawab untuk mendidik mereka terhadap kesedaran pengambila­n vaksin dengan menunjukka­n testimonia­l dan maklum balas positif dari negara yang telah menerima vaksin. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia