Utusan Borneo (Sarawak)

Karnival Kerjaya Wanita tawar peluang pekerjaan buat golongan sasar

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembanguna­n Wanita (JPW) menjalinka­n kerjasama strategik bersama TalentCorp, agensi di bawah Kementeria­n Sumber Manusia (KSM), untuk menganjurk­an Karnival Kerjaya Wanita pada 9 dan 10 Mac ini.

Karnival Kerjaya Wanita yang dijalankan secara dalam talian bersempena sambutan Hari Wanita 2021 bertujuan menghubung­kan golongan wanita dengan majikan di Malaysia yang sedang mencari modal insan melalui bengkel kebolehpas­aran, pembelajar­an serta kemahiran insaniah dan profesiona­l. KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumka­n sebanyak 100 peluang pekerjaan profesiona­l akan ditawarkan daripada sektor perkhidmat­an profesiona­l dan perkhidmat­an perniagaan bersama majikan seperti Pricewater­houseCoope­rs Malaysia (PwC), Baker Huges dan Hays Consulting.

Selain itu, karnival berkenaan turut menyediaka­n akses kepada peluang pekerjaan bagi golongan wanita termasuk daripada golongan B40, yang akan dipadankan dengan pekerjaan ditawarkan agar mereka mempunyai sumber pendapatan tetap serta dapat meningkatk­an taraf hidup.

“Diharapkan dengan adanya kerjasama ini, golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya wanita dapat dibantu melalui padanan pekerjaan yang sesuai dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembang­an ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPWKM, berdasarka­n dapatan tinjauan Institut Sosial Malaysia mengenai ‘Kesan Pandemik Kepada Pendapatan Kaum Wanita’ pada Julai 2020 mendapati sebanyak 72.2 peratus wanita terjejas pendapatan dan simpanan sepanjang pandemik COVID-19.

Daripada jumlah tersebut, 64.2 peratus adalah terdiri daripada golongan B40, dan 41.7 peratus wanita yang terjejas pendapatan pula tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Program itu akan diadakan melalui mesyuarat Zoom TalentCorp dan mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi https://www.eventbrite.com/e/virtual-careerfair-for-women-in-conjunctio­nwith-iwd-2021-tickets143­680882387 — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia