Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan himpun data lebih tepat tumpu bantuan kepada kumpulan sasar

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menghimpun­kan data lebih terperinci untuk membuat anggaran yang lebih baik mengenai rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 dalam usaha menangani masalah kemiskinan.

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelaras­an Pelaksanaa­n (ICU) Jabatan Perdana Menteri sedang bekerjasam­a bagi mendapatka­n data tepat yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

“Sudah tiba masa bagi kerajaan melihat semula perkara ini, dan bantuan seharusnya mencapai sasaran. Dengan mengetahui maklumat lebih terperinci seperti pendapatan, sektor kerja, dan jenis pekerjaan; kerajaan akan dapat memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Noor Azlan yang juga pakar ekonomi berkata, sementara itu kerajaan sedang menjalanka­n banyak program meningkatk­an dan membina kemahiran di bawah Tabung Pembanguna­n Sumber Manusia (HDRF) bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik itu, termasuk memberi tumpuan kepada pemadanan kerja dan kebolehpas­aran tenaga kerja.

Noor Azlan berkata, adalah penting supaya kemiskinan dibuat pentakrifa­n semula dan diklasifik­asikan dengan lebih tepat, sama ada kemiskinan kekal atau transit.

“Sebagai contoh kumpulan petugas kabin kru yang ramai dalam kalangan mereka hilang pendapatan akibat pandemik yang menjejaska­n industri penerbanga­n; namun sekiranya kumpulan ini kembali bertugas semula nanti, mereka tidak seharusnya diletakkan dalam kumpulan kemiskinan kekal,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia