Utusan Borneo (Sarawak)

Pemuda terlantar selepas kemalangan perlukan bantuan

-

BATU PAHAT: Sejak kemalangan jalan raya kira-kira setahun lepas, Hairul Satar, 40, yang mengalami kecederaan teruk pada bahagian pinggul dan kaki kiri tidak lagi mampu berjalan, hanya terlantar di katil rumahnya di Kampung Rahmat, di sini.

Bekas pekerja kilang merupakan merupakan satu-satunya harapan ibunya, Tijah Atan, 75, untuk menyara kehidupan, dan kini kehidupan mereka bertambah perit apabila wang simpanan yang dihimpun sejak kira-kira 20 tahun lepas, yang digunakan untuk belanja harian dua beranak itu kini semakin menyusut.

“Setelah saya tidak lagi bekerja, saya menggunaka­n duit simpanan untuk keperluan harian, ada juga beberapa keperluan seperti lampin pakai buang dan kerusi roda diberikan oleh Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO),” katanya ketika ditemui di kediamanny­a, semalam.

Menurutnya, doktor mengesahka­n bahawa harapan untuk kembali pulih dan berjalan seperti sediakala, agak tipis kerana kecederaan yang dialaminya agak teruk.

“Pihak PERKESO juga masih menunggu keputusan doktor sama ada saya masih mampu bekerja lagi atau sebaliknya, bagi tujuan bantuan seterusnya, saya mengharapk­an keputusan yang positif sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Raja Nor Rashidah Ramli berkata, pihaknya akan berurusan dengan agensi kebajikan lain seperti Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), untuk bantuan yang sesuai bagi Hairul.

Terdahulu, beliau menyampaik­an sebuah katil boleh laras serta sumbangan wang tunai bagi membantu Hairul dan ibunya.

Orang ramai yang ingin menghulurk­an bantuan mereka boleh berhubung dengan Hairul sendiri dengan menelefon 0137086249. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia