Utusan Borneo (Sarawak)

Dron dilengkapi kamera thermal, selaras operasi padam kebakaran hutan

-

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunaka­n teknologi dron dilengkapi kamera ‘thermal’ bagi menyelaras operasi memadam kebakaran hutan di negara ini, kata Ketua Pengarahny­a Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, melalui teknologi itu, haba dan kemerebaka­n kebakaran di bawah permukaan tanah boleh dikesan, selain operasi pemantauan di kawasan kebakaran juga dapat dilakukan pada waktu malam.

“Melalui dron ini, kita juga dapat lihat adakah anggota yang berada di lokasi mencukupi dan ia memudahkan anggota untuk membuat laporan berapa luas hutan yang telah terbakar,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18 di sini, semalam.

Dalam operasi memadam kebakaran hutan di Selangor, Mohammad Hamdan berkata dua dron digunakan dan ia membolehka­n anggota mengesan sumber air di kawasan yang mengalami kebakaran dengan cepat.

Beliau berkata, pihaknya menerima 5,754 panggilan kecemasan berhubung kebakaran hutan di seluruh negara sejak Januari sehingga kelmarin.

“Buat masa ini, kebakaran hutan kerap berlaku di Selangor dan beberapa kawasan di Johor. Bomba telah bersiap sedia dan akan menggerakk­an semua aset untuk melakukan operasi memadam kebakaran,” katanya.

Pada 3 Mac lepas, Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar berkata seluruh Selangor, Pahang dan Johor, kini diisytihar­kan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Dengan pengisytih­aran itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka, atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihakpihak yang tidak bertanggun­gjawab sehingga menyebabka­n pembakaran terbuka bagi tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia