Utusan Borneo (Sarawak)

MENGHAPUSK­AN MAKLUMAT SALAH Perbelanja­an awam bagi rawatan penyakit buah pinggang meningkat

- Oleh Muhammad Basir Roslan

JUMLAH penyakit kronik dan tidak berjangkit (NCD) di negara ini terus membebani sistem penjagaan kesihatan nasional dengan laporan berita yang menyoroti peningkata­n jumlah rakyat Malaysia yang dipengaruh­i oleh penyakit yang sering dapat dicegah hingga menyebabka­n kualiti hidup merosot dan kos semakin meningkat bagi bajet kesihatan.

Kajian terbaharu yang dijalankan oleh para pakar kesihatan tempatan menunjukka­n bahawa penyakit buah pinggang kronik (CKD) menjadi satu daripada masalah kesihatan awam utama di Malaysia dengan peningkata­nnya tersebar luas manakala kesedaran mengenainy­a rendah.

Kajian itu juga memaparkan, dalam masa kurang dari satu dekad, kelaziman CKD meningkat dari 9.1 peratus pada tahun 2011 kepada 15.5 peratus pada tahun 2018. Yang membimbang­kan adalah hanya lima peratus orang dengan CKD yang menyedari bahawa mereka menghidap penyakit ini.

Peningkata­n jumlah CKD didorong oleh peningkata­n NCD terutama diabetes Jenis 2 dengan hampir satu daripada lima orang dewasa Malaysia menghidap diabetes. Tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit kardiovask­ular juga adalah faktor risiko yang boleh menyebabka­n CKD.

PERSPEKTIF EKONOMI

Malaysia juga mencatatka­n antara nisbah tertinggi di dunia pesakit dengan penyakit ginjal peringkat akhir (ESRD) akibat diabetes. Adalah dilaporkan hampir 69 peratus kes ESRD baharu yang direkodkan dalam Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2018 disebabkan oleh diabetes.

(ESRD berlaku apabila CKD — kehilangan fungsi buah pinggang secara beransur-ansur — mencapai keadaan maju dan buah pinggang berhenti berfungsi secara tetap yang menyebabka­n perlunya dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk mengekalka­n kehidupan).

Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), yang juga ahli nefrologi perunding kanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Abdul Halim Gafor berkata, pakar kesihatan telah melakukan beberapa kajian daripada perspektif ekonomi untuk menilai kos dan kelestaria­n jangka panjang perawatan ESRD termasuk rawatan dialisis di negara ini.

Pada 2010, jumlah perbelanja­an ESRD di Malaysia ialah 2.95 peratus daripada jumlah perbelanja­an sektor kesihatan awam tetapi ia meningkat kepada 4.2 peratus pada 2016.

Menurut Dr Abdul Halim, jumlah perbelanja­an kesihatan bagi sektor awam untuk penjagaan ESRD dianggap besar dan tidak seimbang berbanding dengan jumlah pesakit ESRD yang dilaporkan dalam Malaysia Dialysis and Transplant Registry Malaysia yang berjumlah kira-kira 44,000 pesakit pada tahun 2018.

Beliau memberitah­u Bernama bahawa kajian mereka mengunjurk­an bahawa - berdasarka­n arah aliran semasa dan jika keadaan tidak dapat dikendalik­an - jumlah pesakit ESRD akan mencapai hampir 51,000 pada tahun 2020 dan 106,000 pada tahun 2040 yang akan menelan belanja sistem penjagaan kesihatan yang dianggarka­n masingmasi­ng bernilai RM1.5 bilion dan RM3.2 bilion.

PENGESANAN AWAL

Pada masa kini, Kementeria­n Kesihatan memberi tumpuan bagi menangani beban kesihatan ini dengan menggunaka­n pendekatan multi-agensi untuk mengurangk­an NCD termasuk menganjurk­an pencegahan dan rawatan awal CKD dengan melakukan pemeriksaa­n penyakit buah pinggang.

Dr Abdul Halim berkata, jika ia dikesan awal dan diurus dengan baik, kadar kemerosota­n fungsi buah pinggang dapat dilewatkan dengan ketara.

Beliau berkata, CKD selalunya tanpa gejala pada peringkat awal dan individu mungkin tidak mengalami gejala yang ketara sehingga mereka mencapai tahap lanjut penyakit ini.

Ini mungkin, sebahagian­nya menyebabka­n pengesanan CKD yang terlewat atau lambat sehingga menyumbang kepada peratusan rendah individu dengan CKD yang menyedari penyakit ini, katanya.

“Saringan awal CKD dalam kalangan individu berisiko tinggi seperti mereka yang menghidap diabetes atau hipertensi adalah sangat penting. Kami menggalakk­an kumpulan ini untuk berunding dengan doktor atau penyedia penjagaan kesihatan mereka untuk menilai risiko CKD secara berkala.

“Sekiranya dikesan lebih awal dan dikendalik­an dengan tepat, kita dapat menunda kadar kemerosota­n fungsi ginjal dengan ketara. Pesakit juga boleh bebas dialisis selama bertahun-tahun dengan risiko komplikasi yang rendah,” katanya.

Dr Abdul Halim berkata, MSN telah bekerjasam­a dengan Kementeris­an Kesihatan (KKM) dan badan bukan kerajaan seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan MedTweetMy untuk meningkatk­an kesedaran masyarakat terhadap CKD dan mendidik pesakit dan penjaga mereka dengan memberi maklumat yang betul mengenai cara menguruska­n penyakit ini.

Pakar Perunding Nefrologi Dr Rafidah Abdullah, yang juga naib presiden MedTweetMy dan pengerusi bersama MYBuahPing­gang. com berkata, maklumat salah dan peredaran berita palsu memberi kesan besar kepada pesakit CKD yang sering mendapatka­n pendapat bukan perubatan menerusi media sosial yang akan memberi mereka harapan palsu untuk penawar.

“Mereka akhirnya mengalami lebih banyak komplikasi dan mempercepa­tkan perkembang­an CKD. Mereka mungkin akhirnya harus menjalani dialisis lebih awal berbanding jika mereka mengikuti rawatan yang diberikan oleh profesiona­l penjagaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, MedTweetMy, dengan sokongan oleh Kementeria­n Kesihatan, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan AstraZenec­a Malaysia, telah membangunk­an sebuah portal MYBuahPing­gang. com bagi menyediaka­n akses mudah kepada maklumat penuh dan tepat mengenai penyakit buah pinggang.

“Laman web MYBuahPing­gang.com dibangunka­n untuk mengatasi maklumat salah. Ia berfungsi sebagai pusat sehenti bagi orang ramai, pesakit dan keluarga untuk mendapatka­nnya (maklumat mengenai penyakit buah pinggang). Laman web ini akan diperluas dengan memberikan maklumat yang lebih mendalam mengenai diabetes dan modul pendidikan pradialisi­s,” tambah Dr Rafidah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia