Utusan Borneo (Sarawak)

KETENGAH salur RM803,250 bantu pelajar kurang berkemampu­an

-

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyalurka­n bantuan ‘Kembali Ke Sekolah’ sebanyak RM803,250 kepada 6,143 pelajar daripada keluarga kurang berkemampu­an B40 di Terengganu.

Pengerusi KETENGAH, Datuk Razali Idris berkata, sumbangan itu bertujuan meringanka­n beban kewangan ibu bapa terutama mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Bantuan ini telah bermula pada 3 Januari lepas di sembilan lokasi, namun terpaksa dihentikan sementara akibat pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Terengganu.

“Alhamdulil­lah, kini Terengganu telah ditukarkan status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 5 Mac dan KETENGAH meneruskan kembali sumbangan ini kepada golongan sasar secara berperingk­at di beberapa lokasi dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Lazimnya, bantuan KETENGAH hanya diberi kepada penduduk yang tinggal dalam kawasan pentadbira­n itu sahaja, namun bermula tahun ini, KETENGAH turut memperluas­kan bantuan tersebut kepada golongan memerlukan di daerah yang lain.

Razali berkata, ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, ramai yang terkesan dan ada yang hilang mata pencarian namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk ibu bapa mengabaika­n pendidikan anak-anak.

“KETENGAH sedar terdapat sebilangan penduduk luar bandar yang kurang berkemampu­an untuk menyediaka­n kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah ditambah pula dengan peningkata­n kos sara hidup sejak akhir-akhir ini.

“Oleh itu, sumbangan sebanyak RM300,000 juga diberi kepada 2,500 pelajar daripada keluarga yang memerlukan di luar pentadbira­n kawasan KETENGAH,” katanya.

Tambahnya, KETENGAH sering melaksanak­an program ‘touch point’ kepada penduduk luar bandar dengan bantuan secara bersasar terutamany­a golongan kurang berkemampu­an dan golongan yang kehilangan pendapatan melalui program pembanguna­n masyarakat.

“Insya-Allah, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa selaras dengan peranan dan dasar Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar (KPLB),” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia