Utusan Borneo (Sarawak)

Pertempura­n meletus semasa protes terhadap kekejaman polis di Greece

-

ATHENS: Polis Greece berkata seorang anggotanya mengalami kecederaan serius di bahagian kepala ketika pertempura­n meletus malam kelmarin dalam satu tunjuk perasaan melibatkan hampir 5,000 orang di Athens yang menentang keganasan polis.

Dua anggota lain juga cedera dalam demonstras­i itu, yang berlaku ekoran satu rakaman video tular menunjukka­n seorang anggota polis memukul seorang lelaki dengan kayu Ahad lepas semasa satu rondaan untuk menguatkua­sa perintah kawalan pergerakan COVID-19.

Seorang jurugambar AFP di tempat tunjuk perasaan kelmarin berkata, pertempura­n meletus selepas sekumpulan sekitar 200 penunjuk perasaan bertopeng bergerak ke arah balai polis di Nea Smyrni, kawasan tenang di selatan pinggir Athens di mana insiden memukul Ahad lepas berlaku.

Tong sampah dibakar ketika penunjuk perasaan membaling batu dan bom buatan ke arah balai polis, lapor AFP. Polis membalas dengan melepaskan gas pemedih mata dan semburan air.

Tunjuk perasaan menyusul selepas berbulan-bulan kemarahan dalam media Greece dan di kalangan aktivitis mengenai beberapa kes berprofil tinggi melibatkan dakwaan kekejaman polis terhadap penunjuk perasaan dari kalangan pelajar dan golongan berhaluan kiri.

Polis berkata anggota polis yang cedera teruk, ditolak dari motosikaln­ya dan dipukul oleh penunjuk perasaan. Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan agensi berita ANA melaporkan nyawanya tidak terancam.

Sepuluh penunjuk perasaan telah ditahan, kata polis.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis, meminta orang ramai untuk memastikan “imej sedih keganasan yang kita lihat di Athens malam ini adalah yang terakhir”.

“Saya tidak akan membenarka­n sesiapa memecah belah kita,” katanya ketika pembangkan­g berhaluan kiri, Parti Syriza, mengutuk “mereka yang mencemarka­n tunjuk perasaan aman” dengan menukarkan­nya menjadi ganas.

Menurut polis, sekitar 5,000 orang menyertai tunjuk perasaan kelmarin membantah kekejaman polis, beberapa orang membawa sepanduk bertulis “polis keluar dari kejiranan kami” dan “taman untuk berlibur, bukan untuk mendengar ungkapan ‘saya dalam kesakitan’”.

Ungkapan di atas merujuk rakaman video tular menunjukka­n seorang pemuda menjerit ‘saya dalam kesakitan’ ketika dia dipukul Ahad lepas di Medan Nea Smyrni, sebuah kawasan popular untuk keluarga berkumpul. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? HURU-HARA: Anggota polis bermotosik­al tiba untuk membantu rakan sekerja mereka yang cedera diserang oleh penunjuk perasaan semasa demonstras­i terhadap kekejaman polis di Athens kelmarin.
— Gambar AFP HURU-HARA: Anggota polis bermotosik­al tiba untuk membantu rakan sekerja mereka yang cedera diserang oleh penunjuk perasaan semasa demonstras­i terhadap kekejaman polis di Athens kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia