Utusan Borneo (Sarawak)

Pesawah rayu NAFAS turunkan harga benih padi

-

KEPALA BATAS: Pesawah merayu kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk menimbang semula penetapan harga maksimum benih padi sah pada harga RM35 bagi setiap 20 kilogram.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Keladi Ishak Mohd Hussain berkata, tindakan melantik NAFAS sebagai pemborong tunggal seharusnya dapat membantu meringanka­n beban pesawah namun harga benih padi yang dijual kini RM3 lebih mahal daripada musim-musim sebelumnya.

Menurutnya, sebelum ini pesawah bebas untuk mendapatka­n benih padi daripada kilang atau penjual namun penetapan NAFAS sebagai pemborong tunggal itu mula berkuat kuasa pada musim tanaman pertama awal tahun ini.

“Mereka mendapatka­n harga benih di kilang RM28 sahaja, namun dijual dengan harga RM35. Jika pesawah mahu membeli benih CL2, NAFAS menjualnya dengan harga RM75 dan dipakejkan dengan racun. Jika mahu membeli benih sahaja, mereka tidak benarkan. Sebelum ini, benih padi CL2 hanya berharga RM48 setiap beg.

“Ada pesawah yang ingin menggunaka­n benih jenis ini kerana proses matangnya cepat, sekitar 100 hari sahaja. Namun kini harganya mahal dan wajib dibeli bersama racun padahal kami sudah mempunyai racun sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pinang Tunggal semalam.

Ishak berkata, walaupun NAFAS memberikan jaminan untuk menggantik­an benih yang gagal membuahkan hasil, namun ia bakal menjejaska­n masa dan tenaga pesawah.

Jelasnya, benih padi mengambil masa sekitar dua minggu untuk melihat tumbesaran­nya. Sekiranya padi tidak tumbuh dalam tempoh tersebut, pesawah harus menjalani proses memohon semula benih baharu dan akan menyebabka­n mereka terlewat untuk memulakan musim padi pertama tahun ini.

Turut bersama Ishak, seramai 10 pesawah di sekitar kawasan tempatan yang hadir bagi tujuan protes monopoli benih padi oleh pihak Nafas dan harga benih padi sah yang dilihat sebagai menambah beban pesawah terutamany­a ketika pandemik COVID-19 kini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya yakin NAFAS yang bertanggun­gjawab sepenuhnya bagi menjadi pemborong tunggal membekal terus benih padi kepada pesawah di seluruh negara, dapat mengatasi masalah bekalan serta kenaikan harga benih padi.

Che Abdullah berkata, NAFAS tidak ada kepentinga­n, perniagaan mereka juga adalah entiti berkaitan dengan agensi kerajaan, jadi mereka akan dapat laksanakan tugas membekal padi sebaiknya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PROTES: Pesawah-pesawah di kawasan Paya Keladi membuat protes secara aman di kawasan sawah padi supaya NAFAS menimbang semula penetapan harga maksimum benih padi pada harga RM35 bagi setiap 20 kilogram di Kepala Batas, semalam.
— Gambar Bernama PROTES: Pesawah-pesawah di kawasan Paya Keladi membuat protes secara aman di kawasan sawah padi supaya NAFAS menimbang semula penetapan harga maksimum benih padi pada harga RM35 bagi setiap 20 kilogram di Kepala Batas, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia